Ayatollah al Uzma Muhammad Taqi Behjat Fumani, adalah antara ‘arif
yang terulung di zaman moden ini. Beliau merupakan murid kepada seorang
ulama agung Irfan di zaman moden ini, Sayyid Ali Qadhi Tabataba’i.
Syeikh Behjat di lahirkan di dalam sebuah keluarga ynag beragama dan
soleh pada tahun 1334 Hijrah/1915 di daerah Fuman, utara Iran. Beliau
kehilangan ibunya ketika berumur 2 tahun. Tentang bapa beliau, Mamud
Behjat, ahli keluarga beliau menceritakan satu perkara yang menarik.
Ketika bapa beliau berumur 16-17 tahun, beliau jatuh gering yang
serius, dan mereka menyangka beliau tidak akan dapat diselamatkan.
Apabila saudara mara berkumpul di sekeliling beliau, mereka terdengar
satu suara yang berkata: “Jangan bimbang, beliau akan selamat, kerana
beliau akan menjadi bapa kepada Muhammad Taqi.” Selepas kejadian ini,
remaja itu sembuh dan berkahwin beberapa tahun selepas itu.
Beliau
mempunyai beberapa orang anak. Beliau menamakan anak ketiga beliau
dengan nama Muhammad Taqi mengingatkan kejadian di masa mudanya.
Malangnya, ketika masih bayi, anak itu jatuh ke dalam kolam dan mati
lemas. Beliau dikurniakan dengan seorang lagi cahaya mata selepas itu,
juga dinamakan beliau dengan nama Muhammad Taqi. Anak yang terakhir ini,
membesar menjadi seorang sarjana yang agung, Ayatollah Behjat.
Bapa beliau merupakan pembaca marrthiyya dan kerap kali membawa
Syeikh Behjat yang masih muda ke majlis beliau. Ini didapati telah
menanam sifat kecintaan dan ketaatan kepada Ahlulbait(as) ketika beliau
masih kecil.
Dari umur beliau masih muda lagi, beliau telah menunjukkan
tanda-tanda kecerdikan, kebijaksanaan dan kehausan terhadap ilmu.
Selepas pendidikan rendah, beliau terus melanjutkan pelajaran dalam
bidang agama, dan pada umur 14 tahun, beliau berhijrah ke Karbala. 4
tahun kemudian, beliau berpindah pula ke Hauzah terulung di waktu itu,
yakni di Najaf, di mana beliau mendapat kesempatan untuk belajar di
bawah para guru yang terbaik di dunia Islam. Beliau belajar usul di
bawah Syeikh Abul Hassan Isfahani, Mirza Naini dam Syeikh Muhammad
Hassan Gharawi Isfahani(lebih dikenali sebagai Kumpani) dan fiqh di
bawah Mirza Muhammad Taqi Shirazi. Beliau mempelajari teks-teks falsafah
Ibnu Sina dan Mulla Sadra di bawah Ayatollah Hassan Badkubeyi.
Selain tumpuan yang diberikan kepada peringkat menengah dan tinggi
pembelajaran agama, beliau sangat mementingkan dan menumpukan kepada
amalan spritual dan mistikal. Dalam bidang ini, beliau belajar dari
Ayatollah Muhammad Hassan Isfahani dan Ayatollah Sayyid Abdul Ghaffar
serta yang terakhir, serta tidak saling lagi, sarjana agung, Sayyid Ali
Qadhi Tabataba’i. Selama beberapa tahun, Sayyid menjadi guru beliau
dalam mempelajari rahsia Akhlaq dan Irfan peringkat tinggi.
15 tahun kemudian, beliau pulang semula ke Iran dan menetap di Qum.
Di sini, bersama dengan personaliti hebat seperti Ayatollah Khomeini dan
Ayatollah Gulpaygani, beliau menyambung pengajian di bawah Ayatollah
Burujerdi.
Karektar dan Kualiti
1. Tawadhuk dan Pembinaan Sahsiah
Dari zaman mudanya, Syekh Behjat sentiasa melibatkan diri beliau
dengan amalan penyucian diri dan pembinaan sahsiah. Di dalam arahan
etika beliau, Syekh Behjat sentiasa menumpukan agar seseorang itu
berusaha keras agar berjaya dalam meninggalkan kemewahan dunia, yang
mana bertujuan menentang keinginan nurani manusia yang tiada
pengakhirannya. Ayatollah Syeikh Jawad Karbalai berkata tentang beliau:
“Salah seorang dari pelajar beliau yang rapat dari Najaf menceritakan
bahawa setiap malam, atau hampir setiap masa, Syeikh Behjat duduk
seorang diri, berfikir secara dalam dan bermuhasabah diri. Beliau tidak
pernah membazirkan masanya atau menyertai acara-acara yang lagha.
Apabila tiba waktunya untuk kuliah beliau, atau ziyarat Amirul Mukminin,
beliau bangun dengan mengejut, memakai jubahnya dan meninggalkan rumah
tanpa menganggu aktiviti ahli rumahnya yang lain. Beliau sangat pendiam,
dan tidak suka menceritakan apa sahaja berkaitan dirinya, terutamanya
berkaitan rahmat dan kelebihan istimewa yang Allah swt kurniakan pada
beliau.”
Beliau berpendapat, jika seseorang itu mahu berjaya di dalam jihad al
akbar, akhlaq dan ilmu harus bergerak seiringan. Malah beliau
berpendapat, ilmu tanpa penyucian diri adalah sangat merosakkan dari
segala yang lain. Nasihat beliau yang terkenal kepada para remaja ialah
untuk membaca dan mengamalkan 1 hadith setiap hari dari Bab Jihad al
Nafs di dalam Wasail al Shia, tulisan Syeikh Hurr al Amili.
Berdasarkan perbuatan dan kata-kata beliau, sarjana agung ini
sentiasa mengarahkan diri beliau terhadap Allah swt semata-mata. Seorang
mujtahid memberi komentar berkaitan Ayatollah Behjat: “Beliau bukanlah
semata-mata seorang yang tawadhuk, tetapi sememangnya sifat beliau
menggambarkan taqwa itu sendiri.”
2. Zuhud dan gaya hidup sederhana
Seorang hamba Allah yang dekat dengan Tuhannya akan sentiasa melihat
realiti dunia ini, bertentangan dengan manusia lain yang mana mata
mereka terpaku kepada kenikmatan dan kemewahan duniawi. Dengan elepaskan
keselesaan material, mereka akan mendapat kekuatan spiritual, dan
sementara manusia lain terhumban di dalam kegelapan dunia, para awliya
ini akan sentiasa terbang tinggi dikelilingi cahaya kedekatan dengan
Allah swt.
Syeikh Behjat adalah salah seorang dari contoh utama para awliya di
zaman moden ini. Beliau adalah seorang mistik dan seorang sarjana yang
sentiasa hidup di dalam kesederhanaan, tanpa sebarang sekatan material.
Beliau telah memahami realiti dunia ini dan ketidak bergunaan
kenikmatannya.
Beliau tinggal di rumah yang sederhana dan telah menolak banyak
tawaran dari saudara mara dan pengikutnya untuk berpindah ke tempat
tinggal yang lebih selesa. Ayatollah Misbah berkata: “Selama
bertahun-tahun, beliau telah tinggal di rumah sewa yang mempunyai dua
bilik, salah satu bilik itu mempunyai tirai, yang mana akan ditarik
apabila kami datang melawat beliau. Disebalik tirai itu, keluarga beliau
akan terus melakukan tugasan rumahnya. Kami akan duduk di satu bahagian
tabir lagi dan mengambil manfaat dari ilmu beliau. Walaupun sederhana,
tetapi suasananya penuh dengan cahaya istimewa dan spiritual.”
Ayatollah Mas’udi berkata: “Sudah beberapa kali orang ramai dengan
ikhlas memberi tawaran untuk membeli kediaman yang lebih elok, tetapi
ditolak oleh beliau. Saya sendiri berkata kepada beliau: “Agha! Rumah
ini telah rosak. Saya meragui bahawa syariah sendiri membenarkan untuk
seseorang tinggal di dalam kediaman seperti ini” tetapi tidak diendahkan
oleh beliau.”
3. Ibadat beliau
Pelajar Syeikh Behjat menceritakan bahawa beliau mempunyai hubungan
istimewa dengan Allah, yang mana jelas terbukti dari ibadah yang beliau
lakukan. Mereka yang pernah bersolat di belakang beliau menganggapnya
sebagai menaikkan tahap kerohanian dan pengalaman yang unik. Malah
Masjid Fatimiyyah di akhir Pasar Guzarkhan, di mana beliau memimpin
solat selama 3 kali sehari selama 40 tahun, sentiasa penuh ketika waktu
solat. Para ulama besar akan mengambil inisiatif yang lebih untuk datang
dan bersolat dibelakang beliau. Allamah Tabataba’i juga akan melawat
masjid itu untuk ersolat. Sebaik sahaja Syeikh Behjat memulakan
solatnya, berlinanganlah air mata beliau. Sering kali beliau terpaksa
berhenti sebentar kerana suaranya tersekat-sekat akibat emosi, begitulah
takutnya beliau terhadap kehadiran Tuhannya.
Salah seorang ulama meriwayatkan bahawa Ayatollah Behjat pernah
berkata: “Hanya sahaja jika seorang raja menyedari betapa nikmatnya
ibadat seorang hamba kepada Tuhannya, mereka pasti tidak akan melihat
kenikmatan duniawi.”
Ayatullah Shaykh Javad Kerbalayi berkata: “Syeikh Behjat tidak pernah
melalaikan solat malam dan menhabiskan banyak masa tengah malamnya
menangis, terutamanya pada malam sebelum Jumaat.”
Seorang ilmuan pernah berkata, “Pada satu malam Jumaat, aku pergi
melawat Madrasah Al Sayyid di Najaf. Aku melihat beliau menangis
mendayu-dayu di dalam sujud. Beliau mengulangi dalam suara serak basah
perkataan berikut:“Ilahi! Man li ghayruk, asaluhu kashfa dhurri,
wan-nadhara fi amri?! (Tuhan ku, siapa lagi yang aku ada selain Mu?
Siapa lagi yang boleh ku pinta kelegaan dan bantuan serta menjaga urusan
ku?)”.
4. Ziyarat dan Tawassul Beliau
Walaupun sudah menjangkau usia tua, rutin harian beliau kekal tidak
berubah. Di pagi hari, beliau akan menghadirkan diri beliau di makam
Fatimah al Ma’sumah(as) untuk memberi penghormatan dan solawat kepada
beliau. Dengan penuh kerendahan, beliau berdiri di hadapan makam, dan
membaca Ziyarah kepada Imam Hussain(as).
Sayyid Muhammad Husein Tehran, di dalam bukunya, Anwar al Malakut,
meriwayatkan Ayatollah Syeikh Abbas Quchani, seorang ulama besar dan
pengganti spiritual kepada Mirza Ali Qadhi Tabataba’i, yang berkata:
“Ketika di Najaf, Syeikh Behjat sentiasa pergi ke masjid al Sahlah, dan
menghabiskan keseluruhan malam berseorangan untuk beribadat. Pada satu
malam yang sangat gelap, ketika lampu di dalam masjid juga tidak
menyala, beliau merasakan keperluan untuk memperbaharui wudhuknya.”
Beliau kemudiannya keluar menuju ke kawasan wudhuk yang mana terletak
di kawasan timur masjid itu. Tiba-tiba, mungkin diakibatkan oleh
kegelapan itu, beliau didatangi oleh perasaan takut dan bimbang. Hampir
serta merta, sebuah cahaya muncul di sisi beliau, yang menyebabkan
beliau boleh melihat laluannya. Cahaya ini menemani beliau keluar,
ketika mengambil wudhuk dan pulang semula ke dalam masjid, dan
kemudiannya hilang.”
5. Sifat Rendah Diri Beliau
Salah satu sifat yang mudah disedari adalah sifat rendah diri dan
bersederhana beliau, walaupun nama dan status beliau sudah terkenal
sebagai ulama besar yang faqih. Untuk bertahun lamanya, belaiu telah
menolak untuk mencetak fatwa-fatwa beliau, dan akhirnya hanya memberi
persetujuan setelah menerima terlalu banyak permintaan. Apabila beliau
dijadualkan untuk memberi kuliah, beliau membuat permintaan agar nama
beliau tidak disebutkan pemberi kuliah pada hari berkenaan.
Seorang ulama pernah berkata: “Suatu ketika, aku bersama tetamu ku,
Syeikh Nasrullah Lahuthi pergi untuk melawat Syeikh Behjat. Syeikh
Lahuthi berkata kepada gurunya: “Agha! Ketika di Mashad, ada seseorang
mengkritik mu, dan membuatkan ku berasa marah!” Syeikh Behjat membalas:
“Telah diriwayatkan di dalam ahadith, bahawa jika seorang ilmuan memberi
terlalu banyak perhatian kepada duniawi, maka, beliau akan dikritik
oleh orang lain.” Ini membuatkan ku terfikir. jika agha mengatakan
dirinya “terlalu menumpukan kepada hal duniawi” maka bagaimana dengan
kita?”
6. Perjalanan Mistikal(sayr wa suluk) dan kedudukan spiritual beliau
Ayatollah Behjat, untuk berdekad lamanya, telah mempunyai pengalaman
dalam Sayr wa suluk, yakni sebuah perjalanan yang diambil oleh ruh untuk
mencapai kedekatan kepada Tuhannya. Beliau merupakan seorang pelajar
yang hebat dari seorang guru yang juga hebat, Ayatollah Sayyid Ali Qadhi
Tabataba’i, dan telah menerima banyak arahan dan nasihat spiritual dari
gurunya. Walaupun ketika masih remaja, beliau telah melepasi banyak
tingkatan spiritual.
Kedudukan belaiu yang tinggi ini, turut diiktiraf oleh orang yang
melalui jalan yang sama. Sejurus selepas Revolusi Islam, antara ulama
pertama yang ditemui oleh Ayatollah Khomeini, adalah Ayatollah Behjat di
Qum. Begitu juga apabila Ayatollah Khamenei baru menerima jawatan
sebagai Rahbar, pertama sekali beliau menemui Ayatollah Behjat untuk
menerima arahan dan nasihat spiritual.
7. Kesedaran Ghaib dan karamat beliau
Tidak seperti majoriti manusia, yang tidak mempunyai sebarang
pengetahuan tentang kewujudan dan kejadian yang berlaku di dunia ghaib,
Syeikh Behjat telah mencapai satu tingkat(dengan rahmat Allah swt) di
mana beliau kerap menyaksikan kejadian di dunia itu.
Keajaiban ini adalah kerana zikir as Sattaar(Yang Menyembunyikan)
yang sentiasa berada di bibir Syeikh Behjat, samada ketika berdiri atau
duduk. Ayatollah Misbah Yazdi memberi komentar beliau sebagai berikut:
“Nampaknya beliau berada di kedudukan yang membolehkan beliau
menyaksikan perkara-perkara ghaib. Kerap kali beliau mengetahui rahsia
luar dan dalam orang-orang yang berada di sekeliling beliau, yang
membuatkan beliau berdoa kepada Allah, Yang Menyembunyikan Aib( As
Sattar al Uyub) agar menyembunyikan aib orang dari pengetahuan beliau.”
Inilah selalunya cara hamba Allah yang dekat padaNya. Kerendahan
mereka membuatkan mereka tidak mahu menunjukkan atau melakukan sesuatu,
yang mampu memberikan walau sekelumit perasaan bangga di dalam hati
mereka. Dan sebagai balasan kepada sifat rendah diri ini, Tuhan
menganugerahkan mereka dengan lebih banyak ilmu dan status.
Bagi mereka yang mengenali Syeikh Behjat, mereka sedikit pun tidak
meragui bahawa banyak rahsia yang telah diberitahu kepada beliau.
Ayatollah Misbah yazdi berkata: “Mereka yang sudah bertahun lamanya
bersama beliau, telah melihat banyak perkara yang beliau cakap atau
lakukan yang sangat luar biasa. Kadang kala beliau akan mengucapkan
kata-kata yang luarannya normal, bagaimanapun, setelah berfikir sejenak,
seseorang itu akan menyedari ia adalah kerana ilmu istimewa yang beliau
perolehi.
Contohnya ketika Imam Khomeini dibuang negeri ke Turki, ramai pelajar
beliau yang mempertahankan beliau mendapat masalah dengan kerajaan
ketika itu. Mereka dipenjarakan dan diseksa. Contohnya, aku mengingati
ketika Agha Jannati ditahan oleh kerajaan dan tiada siapa yang tahu
tempat beliau dipenjarakan. Aku memberitahu perkara ini kepada Syeikh
Behjat yang berkata seperti berikut: “InsyaAllah, satu hari nanti kamu
akan memberitahuku apabila beliau dibebaskan.” Sudah tentu, sesetengah
orang akan mengatakan bahawa ini adalah doa dari beliau, bagaimanapun,
beliau tidak pula mengeluarkan kenyataan seperti itu untuk para tahanan
yang lain. Kebanyakannya beliau akan berkata: “Doakanlah si fulan dan si
fulan..” Seperti yang diucapkan oleh beliau, Agha Jannati telah
dibebaskan tanpa sebarang kecederaan.”
Salah seorang pelajar beliau menceritakan: “Isteriku sedang sarat
mengandung. Ketika itu di bulan Ramadhan, dan aku terpaksa keluar
bermusafir, oleh itu aku menemui Agha Behjat untuk mengucapkan selamat
tinggal kepada beliau. Beliau memandang ku dan berkata: “Di bulan ini,
kamu akan dirahmati dengan seorang anak lelaki, namakannya Muhammad
Hassan.” dan benarlah yang terjadi seperti yang diucapkan.” Memang
terdapat banyak episod seperti ini, bagi orang yang mempunyai pengalaman
pernah berjumpa dengan Syeikh Behjat.
Agha Behjat tidak menyukai cerita-cerita yang disebarkan sebegini,
tetapi pelajar-pelajar beliau kerap meriwayatkannya, agar kaum Mukminin
mengetahui bahawa di zaman moden begini, masih wujud orang seperti
beliau yang diberi anugerah oleh Allah swt.
Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana
memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke
jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh
keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah
berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. (Ankabut, 29/69)”
Memanfaatkan Lautan Ilmu Ayatollah Behjat
Di dalam seksyen ini, kita akan mengkaji beberapa nasihat dan jawaban
yang diberikan oleh Ayatollah Behjat di dalam hal-hal yang tertentu.
1. Bagaimana Mengubati Riya’
”Seorang pelajar di Hauzah Qom menceritakan bahawa pada suatu hari,
Ayatollah Behjat pernah ditanya: “Kadang kala, seseorang itu ingin
melakukan sesuatu perkara dengan niat ikhlas kerana Allah swt.
Bagaimanapun, syaitan menukarkan niat beliau kepada keinginan untuk
memperlihatkan amalannya di mata manusia lain. Adakah apa yang dirasai
beliau dikategorikan sebagai riya’? Dan adakah ia membatalkan pahala
amalannya?”
Agha Behjat membalas, “Riya’ hanya relevan untuk amalan ibadat kepada
Allah. Sebarang ibadat yang mempunyai hubung kait dengan riya’ akan
menjadi satu dosa dan membatalkan amalannya.”
Bagaimanapun riya’ itu sendiri boleh menjadi serangan balas dan ubat
kepada riya’, dengan cara menukarkan fokus untuk memuaskan hati orang
lain dengan ibadat kita itu. Contohnya, jika seseorang itu boleh
menyelesaikan masalahnya dengan berjumpa secara terus dengan presiden,
maka apa perlunya beliau perlu melalui wakil presiden? Dengan cara yang
sama, jika seseorang itu sedar, maka adalah lebih elok seseorang itu
cuba memuaskan hati dan memperbaiki amalan untuk Tuhannya, secara
automatik, tindakan ini akan menjadi penawar kepada riya’.”
Di waktu yang lain beliau berkata: “Tentang riya’, terdapat satu
hadis yang mengatakan bahawa barangsiapa yang cuba memuaskan hati orang
ramai dengan cara solatnya, akan dibangkitkan semula dalam bentuk
keldai.” Dan ini sememangnya benar apa lagi yang lebih menyerupai seekor
keldai, dari seorang manusia yang cuba menambat hati makhluk lain dari
Tuhannya sendiri? Jika seseorang memanggil kita dengan nama keldai,
sudah pasti kita rasa terhina, tetapi mengapa harus kitaa rasa terhina,
sedangkan siang dan malam, sifat kita menyerupai keldai?
2. Keadaan yang perlu untuk mendatangkan hati dan keseronokan dalam ibadat, terutamanya solat
Salah seorang menceritakan bahawa Agha Behjat pernah ditanya: “Setiap
hari yang berlalu, dan kami masih belum pernah merasai kenikmatan dalam
beribadat, terutamanya Solat. Apakah nasihat tuan agar kami boleh
merasa sedikit kenikmatan yang diriwayatkan oleh para Aimmah(as) kita?”
Guru terhormat ini membalas: “Ini adalah satu perkara yang kita semua
mahu merasainya.” Pelajar itu berkata: “Tolong agha, kamu mempunyai
status yang tinggi dalam perkara ini, sementara kami kosong darinya. Apa
yang harus kami lakukan?” Agha Behjat memberi jawaban yang sangat
rendah diri: “Mungkin, status kamu yang aku cemburukan..”
Bagaimanapun, pelajar itu tetap mendesak, jadi Agha Behjat berkata:
“Kenikmatan dalam beribadat yang kamu cari ini ada dua syarat utama;
pertama di luar solat dan satu lagi di dalam solat itu sendiri. Apa yang
diperlukan diluar solat adalah seseorang itu menjauhkan diri dari dosa
secara total, dan tidak menghitamkan hati dengan pengingkaran kepada
perintah Allah, kerana dosa akan merompak hati daripada cahaya.
Sementara syarat kedua pula, di dalam seolat, seseorang itu perlu
membina satu tembok di sekeliling dirinya, agar tidak terdetik satupun
perkara di hati melainkan ingatan terhadap Allah swt. Jangan membiarkan
ingatan kita tersasar dari Allah walaupun sesaat, dengan ini kamu akan
menjumpai apa yang kamu cari.”
Kepada seorang lagi ulama, beliau berkata: “Demi mencapai kawalan
penuh terhadap solat kamu, dan mencapai kehadiran hati, asasnya perlu
bermula dari luar dan sebelum solat. Seseorang itu perlu mengawal 5
derianya seharian, dan berhati-hati tentang apa yang dirinya lihat,
dengar, makan dan lain-lain, ini akan membenarkan seseorang itu mencapai
kehadiran hati dan akal dalam solat.”
3. Niat yang ikhlas dan keharmonian antara ilmu dan amal
Beliau pernah ditanya:
“Agha, apa yang patut kita sematkan di dalam fikiran kita agar niat kami ketika memakai amamah(serban) adalah ikhlas.”
Beliau menjawab:
“Kriteria amal kamu mestilah demi agama Allah. Sentiasa bertanya
kepada diri kamu, samada kata-kata kamu dan amak kamu sentiasa selari
dengan syariah atau tidak. Berniatlah untuk ilmu yang kamu perolehi dan
telah kamu perolehi, akan sentiasa kamu amalkan. Dengan kata lain,
mestilah wujud keharmonian antara apa yang kamu tahu dan apa yang patut
kamu amalkan. Adalah suatu perkara yang malang, jika seorang ilmuan
tidak beramal dengan ilmu yang benar atau seorang ilmuan yang berilmu
tetapi tidak beramal. Oleh itu berazamlah agar ilmu dan amal kamu akan
sentiasa harmoni.”
Seorang lagi pelajar melaporkan perkara yang serupa:
“Seorang alim yang tidak beramal dengan ilmunya adalah ibarat lilin
yang memberi cahaya kepada orang lain, tetapi dirinya sendiri cair
musnah.”
4. Kepercayaan dan berserah diri kepada Allah swt
Ayatullah Misbah meriwayatkan dari Agha Behjat:
“Suatu hari, aku sedang duduk di dalam bilikku, dan terdengar suara
dari jalanan di luar rumah. Aku keluar dan melihat anak kepada jiran ku
sedang bermain apabila seorang pengemis menghampiri kanak-kanak itu dan
berkata kepadanya: “Aku adalah orang yang miskin. Bolehkah kamu masuk ke
dalam rumah mu dan ambilkan untukku sesuatu?”
Budak itu menjawab: “Kenapa tidak meminta dari ibu kamu jika kamu
mahukan sesuatu? Pergi minta dari ibu kamu jika kamu memerlukan
sesuatu.”
Agha Behjat memberi komentar dalam perkara ini: “Aku berasa terkejut
dengan perbualan ini dan bagaimana seorang kanak-kanak kecil begitu
percaya bahawa ibunya mampu menyelesaikan segala masalah yang ada. Kalau
saja kita juga mempunyai kepercaay yang serupa kepada Allah sebagaimana
kanak-kanak ini kepada ibunya, sungguh, segala masalah kita akan dapat
diselesaikan, jika kita ikhlas dalam permintaan kita.”
5. Jika kita sentiasa mengingati Imam Zaman(as), adakah beliau akan mengingati kita?
Agha Quddus pernah bertanya kepada Agha Behjat:
“Kehadiran ku di sebuah kampung untuk tabligh adalah sangat
produktif. Masyarakat memberi respon yang positif, menghormati ku dan
mendengar nasihat agama yang aku berikan.
Bagaimanapun mereka sangat miskin, dan duit yang mereka berikan
kepada ku di bulan Muharram dan Ramadhan adalah sangat sedikit. Di
tempat yang lain, masyarakatnya tidak memberi respon yang baik, tetapi
mereka membayarku lebih.”
Agha Behjat membalas, “Jika kamu berniat untuk berkerja dengan Imam
Mahdi(as), maka adakah kamu menyangka beliau akan membiarkanmu tidak
terjaga(kebajikan mu)?”
6. Berhati-hati dalam meriwayatkan hadis
Agha Quddus menceritakan pengalaman bertabligh di bulan Ramadhan kepada Agha Behjat:
“Aku tidak menaiki mimbar di siang hari, dan hanya memberi kuliah di malam hari.”
Agha Behjat bertanya mengapa dan aku menjawab, “Kerana aku mempunyai
keraguan dengan hadis yang aku sampaikan, dan aku risau ia akan
membatalkan puasa ku.”
Agha Behjat menyatakan: “Oleh itu adakah di malam hari kamu merasa yakin dalam meriwayatkan hadis?”
Agha Quddus berkata: “Aku menyedari bahawa beliau tidak bersetuju
dengan tindakan ku dan sedang menasihati ku agar menentukan kebenaran
sesuatu fakta terlebih dahulu sebelum mengucapkannya.”
7. Bertabligh dengan amal bukan sekadar kata-kata
Hujjatu’l Islam Lutfi berkata: “Suatu hari selepas bersolat subuh,
aku mendekati Ayatollah Behjat dan meminta sedikit nasihat dari beliau.”
Beliau berkata, “kunu du’atan nasi ilallahi bighayri
alsinatikum”[2][1] “Panggillah manusia kepada Allah dengan satu cara
selain dari kata-kata.”
Aku memahami bahawa walaupun tugasku sebagai seorang ilmuan, dan
bertanggungjawab dalam bertabligh menyebarkan agama, tetapi Agha mahu
menarik perhatianku, bahawa tabligh yang terbaik bukanlah yang di
berikan dari atas mimbar, tetapi yang nampak dari amal dan
akhlak(perbuatan).”
8. Menjauhi Dosa
Ayatullah Shaykh Jawad Kerbalai, seorang guru akhlaq agung menyatakan:
“Aku telah memperoleh manfaat yang besar dalam beberapa tahun menjadi
pelajar kepada Syeikh Behjat, dan nampak dengan mataku sendiri
keajaibab yang diperolehi beliau, antaranya yang aku ingati:
Beliau selalu menekankan bahawa tidak ada kemajuan yang akan dicapai
jika kita tidak meninggalkan dosa: “Rezeki Allah yang luas dan melimpah
ruah sentiasa ada untuk semua hambaNya yang sebenar, satu-satunya
keperluan untuk semua kenikmatan ini ialah, seseorang hamba itu perlu
LAYAK untuk menerimanya. Satu-satunya cara untuk melayakkan diri adalah
dengan meninggalkan keingkaran kepada Allah swt.”
Sudah tentu, perlu ada komitmen untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Lebih banyak seseorang itu mengetahui kedudukan Tuhan, maka lebih
banyaklah rasa cinta yang akan wujud dalam dirinya, yang paling penting
adalah untuk mengelakkan dosa, walaupun dosa kecil, serta tidak hilang
konsentrasi ketika beribadat kepada Dia.”
Orang yang berjaya sampai ke tahap ini dikatakan sebagai,
“hasanaatu’l abrar, sayyiatu’l muqarrabeen”,atau ”Amalan mulia orang
yang benar hanyalah amalan biasa bagi hamba yang dekat kepada Allah
swt.”
Suatu ketika, seorang pelajar yang baru menyertai hauzah bertanya kepada Ayatollah Behjat:
“Aku telah datang ke hauzah untuk mendapatkan ilmu.Apakah yang perlu aku lakukan untuk menjadi seorang ilmuan yang baik?”
Ayatullah Behjat merendahkan kepalanya dan diam untuk sementara,
kemudian beliau berkata: “Tiada bezanya samada seorang pelajar hauzah
atau orang lain. Apa yang penting adalah menjauhi dosa.”
Dalam satu pertanyaan lain, beliau ditanya bagaimana untuk
mendekatkan diri kepada Allah dan khalifahnya, Imam Mahdi(as), beliau
menjawab:
“Bismihi ta’ala. Jauhi dosa dan bersolatlah di awal waktu.”
9. Nilai Muhasabah
Agha Shahi menyatakan:
“Ayatollah Behjat sentiasa menekankan kepentingan mengawal lidahnya
dan banyakkan berdiam. Beliau kerap berkata: “Kita mesti mengawal
kata-kata kita. Kita seharusnya meluangkan masa 23 jam sehari untuk
bermuhasabah dan berfikir, dan sejam lagi untuk berkata-kata, malah itu
juga sudah lebih dari yang diperlukan.”
10. Berada dalam keadaan berzikir selalu
Ayatullah Behjat sentiasa menasihatkan pelajarnya agar mendidik diri
dalam keadaan da’im al-dhikr, iaitu. sentiasa dalam keadaan mengingati
Allah. “Seseorang yang sentiasa berzikir, akan sentiasa ingat bahawa
dirinya sentiasa dalam pengawasan Allah, dan sentiasa berkomunikasi
denganNya.”
Untuk mereka yang ingin mengubati penyakit waswas, beliau sangat
menggalakkan agar bertahlil, iaitu La ila hailallah secara berterusan.
Seorang lagi sarjana agung, Ayatollah Hassanzadeh Amuli juga
menambah, bahawa tahlil adalah al zikr al khafi, iaitu zikir rahsia,
kerana ia boleh dilakukan tanpa orang lain menyedari kita melakukannya.
Ini adalah kerana, tidak seperti zikir lain, contohnya Subhanallah dan
Alhamdulillah, sebutan tahlil boleh dilakukan tanpa menggerakkan bibir.”
11. Menganggap amalan diri sebagai tidak mencukupi
Ustad Khusrushahi mengatakan: Ayatullah Behjat sentiasa menganggap
amalan mulia dan ibadah yang dilakukannya sebagai tidak mencukupi dan
tidak sehebat orang lain, malah beliau sering mengkagumi ibadah yang
dilakukan oleh orang lain dan menganggap ibadah mereka sebagai jauh
lebih hebat dari apa yang dilakukan dirinya.
Dan dengan ini, dapatlah diakhiri biografi tentang keperibadian agung
ini. Untuk menceritakan sepenuhnya, maka sudah tentu artikel ini tidak
mampu menampungnya.
Shaykh Behjat meninggal dunia pada 17 Mei 2009 di Qum. Semoga Allah merahmati ruhnya.
Sumber: www.aimislam.org
Tidak ada komentar:
Posting Komentar