Laman

Rabu, 23 Mei 2012

Perbezaan Antara Iman dan Islam


alam alaikum wa rahmatollah. Bismillahi Taala

Firman Allah swt, Surah al Hujurat, ayat 14:

[قَالَتِ الْأَعْرَابُ آمَنَّا ۖ قُل لَّمْ تُؤْمِنُوا وَلَٰكِن قُولُوا أَسْلَمْنَا وَلَمَّا يَدْخُلِ الْإِيمَانُ فِي قُلُوبِكُمْ ۖ وَإِن تُطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَا يَلِتْكُم مِّنْ أَعْمَالِكُمْ شَيْئًا ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ [٤٩:١٤
Orang-orang ” A’raab” berkata: ” Kami telah beriman”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: ` kami telah Islam ‘. Dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.(49:14)


Para pembaca sekalian, insyaAllah dalam artikel kali ini, kami akan mempersembahkan sebuah artikel khas bagi membincangkan perkara ini. Sesungguhnya, di dalam Al Quran (antaranya ayat suci di atas) serta hadis Nabi(s) dan Imam Ahlulbait(as) banyak sekali membezakan antara Islam dan Iman. Namun kita dapati sedikit sekali dari kalangan kita yang cuba mencari apakah perbezaan di antara kedua kumpulan ini.

Kita kerap membaca doa berikut:

Allahum-magh-filee wa-lil mu’mi-neena wa mu’mia-naat wa musli-meena wa muslimaat.

"Ya Allah, ampunilah dosa mukminin dan mukminat, muslimin dan muslimat"

Namun, kita tidak sedar, penujuan doa ini dibuat kepada siapa. InsyaAllah, semoga pencerahan ini berjaya membuka minda kita semua. Sebelum kita meneruskan perbahasan ini, adalah penting bagi kita mendefinasikan secara umum perbezaan dua perkataan ini agar kita mendapat gambaran ringkas untuk menwujudkan kafahaman asas mengenai tajuk ini.

Islam: Penyerahan diri kepada Allah swt. Menyebut dengan lafaz lidah bahawasanya tiada Tuhan yang layak disembah, diharapkan, diseru, di samakan selain Allah, Tuhan sekalian alam, dengan sifatnya yang tidak dapat di samakan dengan mana-mana makhluq dan memberikan kesaksian bahawa Muhammad ibnu Abdullah adalah Nabi dan Rasul utusan Allah swt. Untuk seseorang yang melafazkan kedua ayat pendek ini, maka darahnya menjadi haram dan terjaga, sembelihannya halal, boleh dikahwini, dan hak-hak selayaknya sebagai orang Islam, wajib dipenuhi.

Iman: Penyerahan diri secara sukarela serta ketaatan penuh pada Allah swt dan perkara lain yang berkaitan denganNya, seperti misi kenabian Muhammad(s), Hari Qiyamah dan perkara lain. Bukan sahaja seseorang ini memberi kesaksian  Tauhid Illahi dan kenabian Muhammad, malah beliau melakukannya dengan sukarela, tanpa sebarang paksaan. Beliau juga begitu menjaga perintah dan larangan dari Allah swt. Ini secara asasnya adalah definasi sejati seorang yang "mempercayai"- Mukmin.

Sudah tentu, definasi yang ditetapkan dalam Quran dan hadis terbahagi kepada definasi umum dan khusus, yang perlu disesuaikan mengikut konteks. insyaAllah, dalam rangka perbahasan ini, perkara ini harus sentiasa diingati.

Syeikh Yasub ad Din Rastgar al Jubairi, seorang ilmuan besar, telah membahagikan perbezaan Islam dan Iman kepada beberapa perbezaan berdasarkan dalil-dalil naqli. Sudah tentu, perbezaannya jauh lebih banyak lagi, namun untuk memastikan keringkasan artikel, kami hanya akan menghidangkan 10 perbezaan ini.

Pertama

Perbezaan pertama antara Islam dan Iman adalah Islam hanya sekadar penyerahan secara "luaran" dan tidak semestinya nampak pada amalan atau tidak semestinya hatinya juga menerima "penyerahan" ini. Dengan kata lain, seseorang Muslim itu dikatakan telah menerima Islam hanya berdasarkan tindakan luarannya sahaja sementara hatinya mungkin masih kosong dari erti penyerahan yang sebenar, dan menerima Islam atas sebab-sebab tertentu. Bagaimanapun Iman bermaksud penyerahan diri secara menyeluruh luaran dan dalaman kepada Allah swt, dari hati, kata-kata dan perbuatan.

Di dalam sebuah hadis, Nabi(s) bersabda:

"Al Islam itu jelas dan Al Iman pula terlindung."

Kedua

Sambungan dari perbahasan di atas, kita dapati, Islam itu di dapati dari syahadatain, iaitu menyaksikan Tauhid dan Nubuwwah Muhammad(s). Sementara, Iman pula, selain dari penyaksian 2 perkara di atas, ia memerlukan kepada penyaksian dan pengakuan kepada Wilayah Ahlulbait(as), dengan kata lain, status Mukmin itu hanya di dapati jika kita mengikuti kepimpinan dan ketuanan para Imam dari Ahlulbait(as) berjumlah 12 orang, yang mana telah diperintahkan secara terang di banyak tempat dan waktu oleh Rasulullah(s).

Sesungguhnya telah diriwayatkan samada dari Imam Muhammad al Baqir(as) atau Imam Jaafar as Sadiq(as) bahawasanya:

"Iman adalah pengakuan dengan lidah dan beramal dengannya sedangkan Islam pula adalah pengakuan tanpa amal." (Bihar al Anwar, Jilid 68, Halaman 246)

Di tempat lain, sabda mereka:

"Iman adalah untuk mengiktiraf urusan ini(yakni wilayah pada Ahlulbait) dan barangsiapa yang memberi kesaksian tetapi tidak mengiktiraf urusan ini, beliau adalah Muslim dan beliau telah salah jalan." ( Usul al Kafi, Jilid 2, halaman 24)

Ketiga

Perbezaan ketiga adalah Islam hanya berkaitan dengan perhubungan antara masusia di dunia material sahaja, seperti darah seorang Muslim itu haram, perkahwinan dibolehkan sesama mereka, sembelihan seorang Muslim halal di makan oleh Muslim yang lain dan seterusnya. Maka, dengan perhubungan seperti ini, jelas, ia hanya menunjukkan limitasi kepada dunia material. Sementara Iman pula memperlihatkan hubungan yang mendalam antara khaliq(pencipta) dan makhluq. Pendek kata, antara perbezaan yang lain antara Islam dan Iman adalah konteks perhubungan dan jenis pertalian yang wujud bagi seorang Muslim dan Mukmin. Ini dapat dilihat dalam hadis Imam Jaafar as Sadiq(as):

"Sesiapa yang menerima Islam darahnya terjaga, apabila beliau memberikan amanah, ia harus dipulangkan(dijaga), hubungan perkahwinan dibenarkan, bagaimanapun ganjaran dari Allah hanya untuk Iman." (Al Mahasin, Halaman 285)

Keempat

Seterusnya, seorang yang mempunyai Islam, walaupun mempunyai kepercayaan yang salah, tidak akan mempengaruhi "keIslamannya" dengan erti kata, tiada kesan pada Islam beliau. Kami maksudkan ini dalam keadaan orang itu merupakan Muslim yang awam, dan tidak meninggalkan keadaan penyerahan diri kepada Allah swt. Sementara seseorang yang mempunyai Iman, jika mereka mengambil jalan atau kepercayaan yang salah, maka Iman mereka akan menarik mereka kedalam kekufuran total, sekaligus menjadi orang yang paling rugi di dunia dan akhirat. Firman Allah swt:

وَالَّذِينَ آمَنُوا بِالْبَاطِلِ وَكَفَرُوا بِاللَّهِ أُولَٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ ٢٩:٥٢]
Dan mereka yang percaya kepada perkara yang salah dan tidak percaya kepada Allah, mereka itulah orang-orang yang rugi.(29:52)

Kelima

Islam hanya memberikan perlindungan kepada Muslim(akan haknya) hanya di dunia, sementara tidak di akhirat. Bagaimanapun, seseorang yang beriman akan mendapat perlindungan di akhirat, dan tidak sesekali akan merasa api. Firman Allah swt:

الَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُم بِظُلْمٍ أُولَٰئِكَ لَهُمُ الْأَمْنُ وَهُم مُّهْتَدُونَ ٦:٨٢
Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. (6:82)

Keenam

Seorang yang mengakui dirinya sebagai Islam dengan mengucapkan syahadatain, masih tidak dinaungi oleh wilayah(kekuasaan dan perlindungan) Allah swt, malah seorang kumpulan ini berkemungkinan untuk bernaung di bawah wilayah syaitan. Bagi seseorang yang mempunyai Iman, adalah mustahil untuk beliau bernaung di bawah wilayah syaitan. Cukuplah Allah sebagai penaung dan penjaga mereka. Quran telah memberikan kesaksian akan perkara ini.

“Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman.” (2:257)

“Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu wali bagi orang-orang yang tidak beriman.(7:27)

“Sesungguhnya Syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhan mereka” (16:99)

Ketujuh

Dalam al Quran, ada menyebutkan bahawa Nabi(s) mempunyai hak yang tinggi ke atas kaum Mukmin, atau mereka yang mempunyai Iman, lebih dari hak seorang mukmin itu ke atas diri mereka sendiri. Namun kita dapati, seorang yang hanya mempunyai Islam tanpa Iman, tidak terikat dengan hak seperti ini. Firman Allah swt:
“Nabi itu lebih berhak ke atas orang-orang yang beriman daripada diri mereka sendiri..” (33:6)

Kelapan

Seorang Muslim boleh dimusnahkan dan dilenyapkan oleh kaum Kuffar(kerohanian mereka), namun Allah swt telah memberi jaminan bahawa perkara ini tidak akan di bolehkan kepada seorang mukmin. Firman Allah swt:

“..dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman.” (4:141)

Kesembilan

Telah disebutkan dengan begitu indah sekali di dalam Quran bahawa golongan yang beriman adalah sebahagian dari parti Allah( Hezbollah), dan kita dapat, golongan Muslim tidak terkandung dalam kumpulan ini. Firman Allah swt:

“Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Merekalah Hezbollah. Ketahuilah! Sesungguhnya Hezbollah itu ialah orang-orang yang berjaya.” (58:22)

Kesepuluh

Setiap Muslim itu setaraf dan sama rata kedudukannya di antara mereka, dan Allah swt. Namun Al Quran menyebutkan perbezaan kedudukan antara orang-orang yang beriman, atau kedudukan Iman itu berbeza-beza.

“Dan bagi mereka masing-masing disediakan berbagai peringkat (balasan) yang sesuai dengan apa yang mereka telah kerjakan” (46:19)

“Supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat..” (58:11)

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka. Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia (di Syurga).” (8:2-4)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar