Laman

Selasa, 22 Mei 2012

Masyarakat Syiah berjaya anjur Maulid Rasul Dengan AhlulSunnah

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) – Berbekalkan semangat cintakan Rasulullah dan keluarga baginda, masyarakat Syiah di Selangor dan Kedah berjaya menganjurkan majlis Maulidur Rasul dengan kehadiran saudara-saudara Ahlusunnah Wal Jamaah. Pada 27 Februari lalu, majlis Maulidur Rasul yang bertempat di Hawzah Imam Ali Ar-Ridha, Sri Gombak telah dihadiri lebih seribu umat Islam. Majlis ini turut menarik perhatian masyarakat dari bangsa India dan Tionghua untuk hadir dan mengetahui lebih lanjut mengenai penderitaan pengikut mazhab Syiah Imamiyah yang ditindas di Malaysia.


Majlis di Hawzah Imam Ar-Ridha ini turut melangsungkan acara gilang gemilang pernikahan sepasang pengantin daripada mazhab Syiah dan Ahlusunnah.



Sambutan Maulidur Rasul di Hawzah Imam Ridha, Selangor dengan kehadiran Ayatullah Ja’far Hadi.


Masyarakat dari bangsa India dan Tionghua turut hadir untuk mengetahui lebih lanjut tentang penindasan terhadap Syiah di Malaysia.

Turut hadir dan memeriahkan majlis ialah Ayatullah Jaafar Hadi dari Qom. Beliau selaku ulama senior dari Iran sempat menyampai pesanan kepada minoriti Syiah tentang pentingnya perpaduan umat Islam dan penyertaan dalam program-program keagamaan demi melangsungkan dakwah ahlul bait yang suci. Beliau menyatakan rasa kagum atas ketabahan pengikut mazhab Syiah Imamiyah tatkala menghadapi berbagai situasi kesulitan sambil mengingatkan mereka supaya terus bersabar.

Turut memberi ucapan tahniah sempena kelahiran nabi Muhammad (s.a.w) ialah beberapa orang tokoh Syiah Melayu dan menyatakan kesetiakawanan mereka dalam ikatan persaudaraan yang telah lama terjalin di kalangan ummat Islam yang berbagai mazhab. Para hadirin dihidangkan dengan nasi beriani berlauk kari kambing, ayam masak merah, acar, kuih-muih dan berlanjutan sehingga ke petang.


Sambutan Maulidur Rasul di Kedah dengan pengisian acara berzanji, marhaban, burdah, berendoi dan ceramah. Gambar dari akhbar Sinar Harian edisi Utara.

Sementara itu Menurut laporan akhbar Sinar Harian edisi Utara, acara Maulidur Rasul berjaya dilangsungkan di pusat pengajian mazhab Syiah, iaitu Husainiyah Az-Zahra di Pendang, Kedah. Lebih 80 pengikut kedua-dua mazhab Syiah dan Sunni menyertai majlis ini dengan pengisian acara berzanji, marhaban, burdah, berendoi dan ceramah.

Ustaz Abdullah Hasan selaku mudir Husainiyah Az-Zahra berkata, isu perbezaan mazhab adalah satu agenda yang dicetuskan oleh pihak yang berhasrat melemahkan umat Islam.

Minoriti Syiah Melayu dipercayai telah wujud sejak kehadiran Islam di Nusantara pada abad ke 11. Jumlah mereka di Malaysia hari ini dianggarkan seramai 40 ribu ke 100 ribu orang. Sepanjang Mac akan datang, lebih 100 orang masyarakat Syiah akan dibicarakan di Mahkamah Syariah Selangor di bawah kesalahan menganuti fahaman Syiah Imammiyah atau lebih dikenali sebagai mazhab ahlul bait.

Diskriminasi dan tuduhan palsu ke atas penganut mazhab Syiah Imamiyah ini mengambarkan pihak berkuasa agama di negara ini ingin memaksa umat Islam menganuti mazhab satu mazhab sahaja.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar