| |
Oleh : Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaluddin Al-Razi Al-Azhari
Seperti yang diberitahu sebelum ini, penulisan ini bukanlah suatu penulisan berbentuk mengkritik sesiapa kerana kebencian terhadap sesuatu kelompok mahupun kefanatikkan terhadapa suatu kelompok yang lain. Karangan ini ditulis untuk menjelaskan sedikit sebanyak tentang isu yang hangat diperbincangkan oleh segenap lapisan masyarakat. Bahkan, ianya merupakan “surat cinta” kepada golongan Wahabi, kerana ianya berbentuk nasihat dari penulis, dan nasihat ialah dari cinta penulis kepada mereka, yang juga merupakan saudara penulis dalam Islam.
Penjelasan ini bertujuan untuk menyingkap apa di sebalik pertentangan terhadap golongan Salafi Wahabi, yang dilancarkan oleh majoriti ulama’ Islam samada secara lantang mahupun secara tersembunyi dan kiasan.
Penjelasan ini juga bertujuan memberi kefahaman kepada mereka yang ingin memahami tentang hakikat di sebalik penentangan ke atas Wahabi, bagi mengambil beberapa pengajaran penting.
Kesimpulannya, ada beberapa perkara penting yang dapat diambil dari karangan ini adalah:
Pertama: Istilah Wahabi khsusnya dalam penggunaan mereka yang menentang Wahabi merujuk kepada suatu gagasan pemikiran yang mewaliki ciri-ciri ta’asub, jumud, tasyaddud (bersikap keras) dan seterusnya membawa kepada takfir (mengkafirkan orang) sewenang-wenangnya. Ia selalunya merujuk kepada aliran pemikiran yang diasaskan oleh pemimpinnya iaitu, Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab.
Mereka ditentang bukan kerana nama mereka Wahabi. Mereka ditentang bukan kerana semata-mata mereka meminati Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Mereka ditentang kerana ciri-ciri pemusnah yang mereka bawa dalam pemikiran mereka seterusnya mempraktikkannya dengan agenda membid’ahkan dan mengkafirkan orang Islam sewenang-wenangnya.
Kalaulah ada di kalangan mereka yang mengaku salafi, namun tidak mengakui bercirikan ciri-ciri yang disebutkan, maka mereka bukanlah sasaran mereka yang menentang golongan Wahabi.
Adapun mereka yang menolak dakwaan bahawa golongan Wahabi mengkafirkan orang, dan mereka yang berusaha menolak dakwaan tersebut, pada hakikatnya cuba “menegakkan benang yang basah”. Berdasarkan banyak asas, sememangnya golongan Wahabi terlibat dengan aktiviti mengkafirkan sesama Islam sewenang-wenangnya, bahkan sampai ke tahap menumpahkan darah sesama Islam semata-mata kerana telah dikafirkan oleh mereka, kerana tidak mengikut pendapat mereka.
Kedua: Mungkin di Malaysia, mereka yang terpengaruh dengan Wahabi, tidak mengaku Wahabi kerana nama Wahabi di Malaysia merupakan suatu nama yang menjadi simbol golongan ekstrim atau sesat dan sebagainya. Namun, benih-benih pemikiran Wahabisme turut kelihatan sedang tersebar di Malaysia, samada di kalangan awam mahupun di kampus-kampus pengajian.
Benih-benihnya dapat dilihat dalam bentuk, bersikap keras dalam mengingkari perkara-perkara cabang yang diperselisihkan ulama’ mengenainya, dan mengetengahkannya ke dalam masyarakat, seolah-olah lagaknya sebagai sang pembela agama, padahal dia sebenarnya membawa bencana perpecahan yang lebih besar.
Sikap mengetengahkan perkara-perkara yang bercanggah dengan mazhab mufti tempatan, bahkan bersikap mengingkari dan menolak ijtihad-ijtihad dalam mazhab As-Syafi’e yang menjadi mazhab kebanyakkan mufti di Malaysia, merupakan suatu perkara yang mengelirukan masyarakat awam. Ini kerana, menurut Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, mazhab awam ialah mazhab muftinya. Hal ini bagi mengekalkan perpaduan sesama masyarakat awam di samping mengelakkan kekeliruan.
Ketiga: Orang-orang awam yang tidak mempunyai latar belakang ilmu agama yang mendalam, seharusnya berpegang dengan mazhab mufti tempatnya (kalau di Malaysia, mazhab As-Syafi’e), dan tempat rujukannya dalam masalah kefahaman tentang syariat dan aqidah Islam, haruslah merujuk kepada mazhab muftinya, dan para ulama’ yang bertauliah dan diakui kefahamannya tidak bertentangan dengan mazhab mufti tempatan.
Keempat: Para ahli ilmu yang berpegang dengan ijtihad-ijtihad yang dipercayai benar di sisinya, namun bercanggah dengan mazhab mufti tempatan, maka ianya tidak perlulah diketengahkan ke dalam masyarakat awam, yang mana mazhab mereka adalah mazhab mufti mereka. Cukuplah sekadar dia beramal untuk diri sendiri, ijtihad-ijtihad tersebut, dan boleh juga dikongsikan kepada sesama ahli ilmu agama, untuk diperbincangkan dan sebagainya, tetapi bukan di tengah-tengah masyarakat awam yang tiada asas dalam ilmu agama yang mendalam. Ini bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan mereka mahupun perpecahan.
Bahkan, tidak bolehlah dia mengingkari ijtihad-ijtihad mazhab negara tersebut, semata-mata kerana dia menyangka kefahamannyalah yang paling betul dari sumber-sumber hukum Islam tersebut, selagimana dia bukan seorang NABI. Ini kerana, selagimana dia bukan seorang nabi, maka dia bukan seorang ma’shum (terpelihara dari kesalahan). Selagimana dia tidak ma’shum, selagi itu dia berkemungkinan betul dan berkemungkinan juga salah dalam memahami sesuatu. Oleh itu, selagimana dia berkemungkinan salah, dia tidak berhak mengingkari pendapat orang lain, kerana mereka berkemungkinan betul, sepertimana dia berkemungkinan salah.
Kesimpulan bagi kesimpulan karangan ini ialah, penentangan terhadap Wahabi, merupakan suatu siri penentangan yang mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Apa yang penting, golongan yang menentang Wahabi bukan kerana mereka membenci Muhammad bin Abdul Wahab, bahkan ramai di kalangan mereka mengakui kepentingan beliau dalam berperanan memperbaiki kekusutan umat Islam suatu ketika dahulu.
Mereka menentang golongan Wahabi, kerana ciri-ciri gagasan pemikiran Wahabisme yang mereka bawa, bersifat ta’asub (fanatik), jumud (statik), tasyaddud (keras atau ekstrim) dan sebagainya yang membawa kepada sikap cepat membid’ahkan orang lain, mudah mengkafirkan sesama Islam sewenang-wenangnya, bahkan boleh membawa kepada pertumpahan darah sesama Islam andai tidak dibendung dan dikawal.
Oleh itu, bagi mereka yang menghargai umat Islam, dan masih menyayangi mereka, perlulah mereka menjauhi gagasan pemikiran Wahabisme dan menjauhi golongan Wahabi yang bersikap dengan sikap ta’asub, jumud dan sebagainya.
Kalau anda keliru tentang Salafi, bacalah buku As-Salafiyah, karangan Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti. Kalau anda keliru tentang masalah-masalah yang sering dibid’ahkan oleh para Salafi Wahabi, rujuklah pelbagai buku-buku karangan ulama’-ulama’ terdahulu seperti Imam Al-Asqolani, Imam Ibn Hajar Al-Haithami, Imam An-Nabhani, Imam Al-Kauthari dan sebagainya, dan ulama’-ulama’ masa kini, seperti Shiekh Abdul Fatah Ghudah, Sheikh Abdullah As-Siddiq Al-Ghumari, Dr. Umar Abdullah Kamil, Sheikh Sa’id Fudah, Sheikh Al-Allamah Dr. As-Sayyid Muhammad bin As-Sayyid ‘Alawi Al-Maliki, Sheikh Dr Ali Jum’ah dan sebagainya, untuk penjelasan-penjelasan tentang perkara-perkara yang dibid’ahkan dan ditentang oleh golongan Wahabi, yang pada hakikatnya mempunyai dasarnya dalam nash-nash sumber hukum Islam.
Ingatlah bahawa, selagimana kita di kalangan orang awam, mufti merupakan tempat sandaran kita dalam merujuk perkara-perkara yang berkaitan dengan masalah agama. Merekalah yang bertanggungjawab di hadapan Allah s.w.t., dalam menerangkan kefahaman Islam kepada kita yang masih awam. Oleh itu, tidak perlu takut lagi sebagai seorang awam, dan terpengaruh dengan golongan yang cuba mengelirukan kita, dengan masalah khilaf, kerana kita sudah menunaikan tanggungjawab kita sebagai awam, takkala kita bermazhab dengan mazhab mufti kita, dan bersandar kepada ilmu dan kefahaman mereka selagimana kita di kalangan awam, kerana Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, “tanyalah ahli zikr (ilmu) kalau kamu tidak mengetahui”. Oleh itu, takkala mufti menjadi rujukan orang-orang awam, terlepaslah tanggungjawab mereka kerana telah bertanya kepada ahli ilmu (mufti yang diberi tauliah dari ulil amri dan diiktiraf di sisi majoriti ulama’), apa yang tidak mereka ketahui.
Kalau anda orang awam pula, lakukanlah apa yang anda rasa betul berdasarkan dalil yang anda miliki, tetapi, selagimana anda bukan seorang NABI, anda tidak berhak memaksa orang lain mengikut kefahaman anda mahupun mengingkari pendapat orang lain apatah lagi membid’ah dan menyesatkan mereka yang percanggah dengan anda dalam masalah cabang-cabang dalam agama.
Apa yang penting, fahamilah bahawa, golongan yang menentang Wahabi, akan terus menentang Wahabi, selagimana golongan Wahabi terus-menerus berpegang dengan sikap-sikap pemusnah umat Islam yang disebutkan sebelum ini, krana sikap-sikap tersebut akan merosakkan umat Islam andai tidak dibendung.
Oleh itu, fahamilah juga bahawa, golongan yang menentang Wahabi, tidak pernah menentang Wahabi kerana hasad terhadap mereka, kerana golongan tersebut bukanlah golongan yang mempunyai banyak keistimewaan sekalipun, berbanding golongan-golongan yang menentang mereka (Wahabi)tersebut. Mereka menentang golongan Wahabi bukan juga atas dasar ingin menyemaikan benih permusuhan, seperti yang dilakukan oleh golongan Wahabi, tetapi ianya merupakan satu agenda untuk membersihkan umat Islam dari gejala ta’asub, takfir, jumud, tasyaddud dan sebagainya yang dibawa oleh gagasan fahaman Wahabi tersebut. Hal ini dalam rangka menyuruh kepada kebaikan dan mencegah yang kemungkaran. Bukankah perpecahan dan permusuhan itu suatu kemungkaran. Oleh itu, segala bentuk agenda yang membawa kepada permusuhan dan saling kafir-mengkafirkan antara sesama muslim perlu dihentikan. Oleh kerana itulah, golongan Wahabi ditentang hebat, kerana fahaman keras yang mereka bawa.
Oleh itu, andai golongan Wahabi meninggalkan sifat-sifat seperti tasyaddud, jumud dan takfir tersebut, sudah tentu golongan yang menentang Wahabi tidak akan lagi menentang Wahabi, selagimana masing-masing memahami prinsip-prinsip dan adab-adab dalam berselisih pendapat.
Wahabi bukanlah suatu nama yang merujuk kepada suatu penghinaan terhadap sesuatu golongan, ianya merupakan suatu penggunaan secara istilah, yang merujuk kepada sesuatu pola pemikiran yang sering dikaitkan dengan takfir, tasyaddud dan sebagainya. Oleh itu, penggunaan istilah Wahabi di sini sekadar merujuk kepada fahaman tersebut, (seperti yang telah dijelaskan sebelum ini), bukan untuk menghina mana-mana pihak.
Demikianlah sedikit penjelasan tentang isu Wahabi ini, semata-mata dengan ini, penulis mengharap agar Allah s.w.t. meredhai kita semua sebagai para hamba-Nya dan menjadikan kita di kalangan mereka yang berpegang dengan kebenaran dan tidak tertipu dengan ujub diri sendiri dalam mencari kebenaran. Semoga Allah s.w.t. membantu kita dalam menyebarkan risalah Islam ke serata alam…
Amin…
Wallahu a’lam…
Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin
Tidak ada komentar:
Posting Komentar