| |
Oleh : Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaluddin Al-Razi Al-Azhari
Realitinya, apabila kita melihat persekitaran negara kita (Malaysia) yang dicintai, khususnya, kita dapati bahawa, ada di kalangan manusia yang cuba menyemai benih-benih kekeliruan bagi masyarakat awamnya, dan benih-benih perpecahan di kalangan golongan ilmuannya,.
Penyemaian benih-benih tersebut wujud dalam bentuk subjektif, dari sumber-sumber yang abstrak, dan tidak jelas samada ianya merupakan suatu agenda yang tersusun ataupun secara kebetulan, hasil dari ledakan ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang keagamaan.
Takkala penulis berhadapan dengan masyarakat awam, timbul dari mereka, pelbagai persoalan yang sepatutnya tidak perlu timbul dari seseorang awam. Persoalan-persoalan seperti: “adakah baca qunut sewaktu solat Subuh ada dalam Islam?” adakah baca yasiin malam Jumaat merupakan suatu bid’ah yang dilarang dalam Islam?”, adakah sambutan Maulid Nabi merupakan suatu perkara yang menyalahi ajaran Islam?”. adakah doa secara berjamaah setelah solat merupakan suatu bid’ah”, “adakah pahala bacaan Al-Qur’an untuk si mati sampai kepada si mati?”, dan pelbagai persoalan-persoalan lain yang menimbulkan kekeliruan di kalangan orang-orang awam.
Tidak dapat dinafikan, sememangnya persoalan-persoalan tesebut merupakan suatu persoalan ilmiah, yang penting untuk dibincangkan. Tetapi, tempat perbincangan tersebut bukanlah di tengah-tengah masyarakat awam, (yang hatta ada di kalangan mereka yang baca Al-Qur’an pun belum mampu lagi). Tempat perbincangan tentang perkara-perkara yang menjadi perselisihan para ulama’ mengenainya, adalah di institusi-institusi pendidikan dan pengajian tinggi, bukan tempat-tempat pengajian golongan awam.
Persoalan-persoalan tersebut, jika ditanya oleh ahli ilmu, mudahlah untuk dibawa berbincang. Tetapi, kalau ianya ditanya oleh orang-orang awam, makin dijelaskan, makin keliru, kerana mereka tidak mempunyai ilmu-ilmu alat yang cukup untuk memahami perbincangan ilmiah dalam bidang keagamaan.
Contohnya, apabila seseorang awam bertanya: “adakah sambutan maulid Rasul merupakan suatu yang bid’ah?” Adakah dia sendiri memahami apakah yang dimaksudkan dengan perkataan “bid’ah” itu sendiri?
Kalaulah dia memahami bid’ah itu bermakna, perkara baru dalam agama, yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w., adakah semua perkara yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dalam perkara-perkara keagamaan, tidak boleh dilakukan?
Bagaimana pula dengan aktiviti pengumpulan Al-Qur’an dalam satu mashaf yang dilakukan oleh Saidina Abu Bakar r.a. dan Saidina Umar Al-Khattab r.a., bukankah ianya tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w., tetapi mengapa ia dibolehkan? Kalau kita cuba terangkan bid’ah dari segi bahasa itu sendiri terbahagi kepada beberapa bahagian, dan selagimana perkara baru yang dilakukan dalam agama, untuk tujuan masalih mursalah, tidak bercanggah dengan dasar-dasar ajaran Islam dan sebagainya, ianya tidak dilarang, dan tidak juga dinamakan bid’ah di sisi sebahagian ulama’ usul, walaupun ianya dinamakan sebagai bid’ah dari sudut bahasa.
Kalau kita jelaskan seperti ini, adakah orang-orang awam mampu memahaminya, sedangkan dia tidak pernah mengenali apa itu aktiviti pengumpulan Al-Qur’an yang kita maksudkan, apa itu masalih mursalah yang kita katakan, apa itu bahagian-bahagian bid’ah yang kita bincangkan, apa yang dimaksudkan dengan “dasar-dasar ajaran Islam, apa makna ulama’-ulama’ usul, dan sebagainya, yang dimaksudkan dari penjelasan kita tersebut? Jadi, orang-orang awam tidak mampu memahami dengan jelas, (melainkan ianya memakan masa yang lama), apa yang cuba kita terangkan, bagi persoalan-persoalan mereka.
Bayangkanlah, ada seorang budak tadika bertanya kepada gurunya: “Cikgu, betulkah jawapan kepada 74243.5408 x 8 kuasa 2 + 834900 bahagi 59 ialah 988594.806, dan kalau betul, jelaskan kenapa ianya betul”.
Cikgu tersebut sekurang-kurangnya, untuk membenarkan atau untuk menyalahkan jawapan tersebut, mungkin mudah. Tetapi, untuk menjelaskan kepada budak tadika tersebut, yang masih lagi tidak mampu memahami hakikat dari 5+2=7, tentang bagaimana jawapan tersebut dinilai sebagai betul atau salah, merupakan suatu yang amat sukar, bahkan kemungkinan besar, akan menimbulkan kekeliruan terhadap budak tersebut juga. Akibat kekeliruan tersebut, boleh jadi dia akan menganggap Matematik merupakan sesuatu yang sukar dan pada saat itu, dia mula membenci perkara-perkara berkaitan dengan Matematik.
Dalam perkara ini, orang yang perlu dipersalahkan ialah orang yang mula-mula meberi soalan yang rumit tersebut kepada budak tadika tersebut sehingga mencetuskan kekeliruan akibat kekurangan ilmunya mengenai perkara-perkara tersebut. Kalaulah semata-mata dengan ilmu Matematik yang cetek, yang dimiliki oleh budak tadika tersebut, mustahil soalan yang rumit tersebut daripadanya. Oleh yang demikian, pastilah ada orang yang memberikan soalan yang rumit tersebut, yang pada hakikatnya, tidak sesuai untuk diberikan kepadanya, memandangkan ilmunya yang masih cetek.
Begitu juga, apabila ada seorang awam, yang tidak mempunyai latar belakang ilmu keagamaan yang mendalam, datang kepada seorang ahli ilmu lantas bertanya: “benarkah baca Yasiin malam Jumaat merupakan suatu kesalahan dari sudut agama dan bid’ah yang menyesatkan?”
Sudah tentu, perkara yang pertama, yang kita dapati dari situasi ini ialah, orang awam tersebut, yang tidak mempunyai latar belakang ilmu yang mendalam dalam bidang agama, takkala bertanya soalan tersebut, pastilah kita fahami bahawa, soalan tersebut bukan darinya. Pasti ada seseorang yang juga merupakan penuntut ilmu dalam bidang agama, yang mencetuskan persoalan-persoalan semacam itu, kepada si awam tersebut.
Untuk menjelaskan perkara tersebut dari sudut ilmiah juga, merupakan suatu kesukaran kerana si awam tersebut boleh jadi tidak memahami istilah-istilah yang bakal kita gunakan dalam menerangkan perkara-perkara tersebut, seperti istilah bid’ah itu sendiri, konsep ibadah dalam Islam, kaedah istinbath hukum dan lain-lain. Oleh yang demikian, selain ianya membebankan si awam itu sendiri, dengan pelbagai istilah-istilah ilmiah, ia juga akan membawa kebingungan dan kekeliruan yang lebih besar kepada si awam tersebut.
Bahkan, ianya bolah juga membawa seseorang awam kepada sikap ta’asub kepada pendapat baru tersebut (baca Yasiin malam Jumaat ialah bid’ah yang menyesatkan), seterusnya bertindak menyalahkan golongan yang melakukannya serta mengingkari mereka. Ini secara tidak langsung akan mengundang kepada perpecahan umat Islam.
Dalam situasi ini, seharusnya yang bertanggungjawab ialah, orang yang menimbulkan isu-isu khilafiyah di tengah-tengah masyarakat awam, yang mana seterusnya ia membimbangkan dan mengelirukan mereka, sehingga boleh membawa kepada fanatik dan perpecahan.
Persoalan yang paling penting, mengapa ahli ilmu yang mengetengahkan isu-isu khilafiyah tersebut, mengetengahkannya di khalayak awam? Ada pelbagai kemungkinan yang didasari oleh kekeliruan-kekeliruan.
Boleh jadi, ahli ilmu tersebut menganggap, perlu kepada kesatuan dalam umat Islam, kerana kebenaran hanya ada satu. Oleh yang demikian, semua pihak harus bersepakat dalam setiap cabang ajaran Islam, agar dapat menyatukan seluruh umat Islam dalam “satu kebenaran” tersebut.
Sebagai contoh, dalam masalah qunut di rakaat kedua, sewaktu solat subuh. Ada pihak yang mengamalkannya berdasarkan dalil-dalil mereka dan ada pihak yang tidak mengamalkannya berdasarkan dalil-dalil mereka. Maka, boleh jadi, pihak yang tidak mengamalkannya dengan dalil-dalil mereka menganggap kebenaran mutlak dalam masalah itu di sisi mereka, lantas menyerang golongan yang melakukan qunut pada solat Subuh tersebut bagi tujuan menyatukan umat Islam dalam kebenaran menurut mereka.
Golongan tersebut barangkali terlupa, tiada pengingkaran dalam masalah khilafiyah (yang diperselisihkan oleh ulama’ mengenainya) selagimana kedua-dua pihak mempunyai dalil mereka tersendiri yang tidak bercanggah dengan kaedah-kaedah asas syariat Islam.
Golongan yang bermati-matian mengingkari perkara-perkara khilafiyah tersebut (sampai ada yang sanggup mengarang buku-buku khusus untuk mengingkari perkara khlifiyah tersebut), barangkali terlupa, mereka yang melakukanya juga mempunyai asas dari sumber-sumber syariat Islam.
Lebih malang lagi, boleh jadi mereka terlupa bahawa, dalam konsep ijtihad, bagi ijtihad yang betul di sisi Allah s.w.t., dua pahala, dan bagi ijtihad yang salah di sisi Allah s.w.t., satu pahala.
Dua fokus penting dalam kaedah ini ialah, hanya Allah s.w.t. yang menilai betul atau salahnya ijtihad seseorang, kerana hanya Dialah yang Maha Mengetahui. Adapun kebenaran di sisi kita, tidak boleh membawa kepada pengingkaran terhadap ijtihad orang-orang lain yang bercanggah dengan kefahaman dan pendapat kita, kerana kita bukanlah seorang yang ma’shum (terlepas dari kesilapan), dan berkemungkinan juga salah.
Fokus kedua ialah, Allah s.w.t. turut memberi satu pahala buat mereka yang salah dalam berijtihad, selagimana mereka telah berusaha sedaya-upaya untuk menggali hukum tersebut dari sumber-sumber Islam, kerana sekurang-kurangnya mereka telah berusaha untuk berkhidmat kepada agama Islam. Lihatlah, kalau Allah s.w.t. juga menjanjikan pahala buat orang-orang yang berusaha dan berijtihad untuk menggali hukum berdasarkan kemampuannya, hatta yang tersalah di sisi-Nya sekalipun, mengapa ada golongan yang bersikap mengingkari ijtihad-ijtihad ulama’ yang bercanggah dengan ijtihad mereka, atau ijtihad imam mereka? Adakah mereka lebih utama mengingkari perkara-perkara yang bercanggah dengan mereka, daripada Allah s.w.t.???
Maha Suci Allah s.w.t. daripada sikap mereka tersebut.
Oleh yang demikian, kalaulah anda seorang ahli ilmu, dan anda mampu mentelaah bahan-bahan ilmiah sendiri, dalam pada itu anda berpegang dengan satu ijtihad yang berbeza dengan mazhab awam khususnya di Malaysia (iaitu mazhab As-Syafi’e, yang merupakan mazhab mufti mereka), maka tidak perlulah anda mengetengahkannya kepada masyarakat awam bagi mengelakkan kekeliruan dan perpecahan.
Kalau anda rasa, anda perlu mengetengahkan perkara-perkara tersebut kepada masyarakat untuk mengembalikan mereka kepada “kebenaran”, maka andalah yang terkeliru dengan apa yang anda sangkakan.
“Kebenaran” menurut anda belum tentu kebenaran di sisi Allah s.w.t.. Oleh itu, siapa anda untuk mengingkari ijtihad-ijtihad dalam mazhab As-Syafi’e yang digunapakai oleh masyarakat awam di Malaysia? Adakah anda seorang nabi yang baru diutuskan, yang ma’shum dari kesalahan dalam berijtihad? Kalau anda bukan ma’shum (terpelihara dari kesalahan), maka anda bukanlah seorang yang layak mengingkari ijtihad-ijtihad yang bercanggah dengan ijtihad anda atau guru anda, selagimana mereka mempunyai dalil dan asas dari sumber-sumber perundangan dan hukum Islam.
Sikap anda yang cuba mengetengahkan isu-isu cabang dalam masalah fiqh yang khilafiyah (diperselisihkan ulama’ mengenainya), boleh mengelirukan masyarakat awam, menjerumuskan mereka ke lembah perpecahan, seterusnya menyibukkan mereka dalam perkaa-perkara yang tidak penting, daripada perkara-perkara yang lebih penting dan utama seperti masalah murtad, masalah sosial dan sebagainya.
Ajaib lagi mengajaibkan, apabila ada sesetengah pihak yang sibuk berdebat dan bertekak mengenai tawassul, adakah ianya boleh atau syirik, sedangkan isu yang lebih parah ialah tentang masalah sosial, murtad, masalah serangan Israel ke atas negara-negara Islam dan sebagainya.
Pelik lagi memelikkan, apabila umat Islam yang seharusnya mencari titik permulaan untuk bersatu dalam perkara-perkara usul (prinsip atau utama), tiba-tiba ada golongan yang menimbulkan persoalan-persoalan khilaf dalam masalah furu’ (cabang) dan sibuk mengingkari antara satu dengan yang lain dalam masalah khilafiyah, yang semakin menjauhkan sesama umat Islam.
Adakah mereka yang sibuk mengingkari golongan yang tidak sependapat dengan mereka, terkeliru dengan hakikat syariat Islam yang luas, atau jahil dengan adab-adab berselisih pendapat, atau mungkin sengaja ingin memecah-belahkan umat Islam? Apapun niat mereka, bukan menjadi fokus kita, kerana hanya Allah s.w.t.lah yang mengadili niat seseorang. Apa yang penting, sikap dan perbuatan mereka menyelahi etika dan prinsip-prinsip keluasan hukum Islam di samping menjerumuskan umat Islam ke dalam lembah perpecahan dan bahkan boleh juga sampai ke tahap pengkafiran sesama Islam sewenang-wenangnya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar