Oleh : Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaluddin Al-Razi Al-Azhari Teguran Al-Allamah As-Sheikh Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi (semoga Allah s.w.t. menjaga beliau dan membalasi jasa beliau) Terhadap Sikap ‘KeWahabian’ Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi merupakan antara seorang ulama’ yang amat terbuka lagi bersifat sederhana. Beliau merupakan tokoh ulama’ yang ternama di serata dunia. Beliau antara para ulama’ yang tidak terlalu menampilkan diri dalam menolak golongan Wahabi, walaupun beliau antara ulama’ yang ditolak dan dikritik keras oleh golongan Salafi Wahabi tersebut. Sehingga, dalam satu khutbahnya, beliau menjawab tertuduhan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa beliau termasuk dari kalangan golongan Salafi Wahabi dengan katanya: “Ada yang mengatakan saya dari kalangan golongan “Salafiyah Takfiriyah (yang mengkafirkan orang sewenang-wenangnya). Saya ingin jelaskan bahawa, bagaimanalah saya dari kalangan mereka sedangkan mereka sendiri mengkafirkan saya? Saya tetap dengan pendirian saya yang menolak konsep takfir tersebut.” (rujuk dalam website beliau, mengenai khutbah tentang tsunami). Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi yang bersifat sederhana (seperti gurunya Sheikh Muhammad Ghazali dan Ustaz Hasan Al-Banna), tidak mengkritik golongan Wahabi secara lantang. Namun, dalam banyak buku-buku karangan beliau, beliau turut menegur sikap golongan Wahabi tersebut dengan mengkritik sikap ta’asub dan jumud mereka dalam memahami syariat Islam. Dalam buku karangan beliau ‘Ummatuna bainal Qornain’ (umat kita antara dua kurun), setelah menegaskan tentang kepentinga bersatu, beliau berkata: “Saya ingin menjelaskan kepada sesetengah golongan yang menyempitkan perkara-perkara khilaf sesempit-sempitnya, di mana mereka ingin mengangkat perselisihan dalam masalah cabang-cabang dalam aqidah dan cabang dalam syariat dari umat Islam, dan ingin menyatukan manusia dalam satu pendapat. Hakikatnya, agenda mereka merupakan suatu igauan, kerana menghilangkan perselisihan dalam umat Islam merupakan suatu yang mustahil, bahkan ianya tidak pernah dituntut oleh syariat untuk melakukannya (menggabungkan umat Islam dalam satu pendapat dalam setiap masalah). “…Para sahabat sendiri berselisih pendapat, seperti dalam masalah solat Asar, pada hari perang Bani Quraidhah dan sebagainya, dan seterusnya, umat Islam terus berselisih pendapat… “Perselisihan dalam ijtihad (pendapat dalam masalah syariah) merupakan suatu rahmat untuk umat. “…Oleh yang demikian, orang yang mempunyai sesuatu pendapat, yang mana dia yakin dengan kebenaran pendapatnya, bersikap rendah diri, jauh dari tipu daya dan bangga dengan diri sendiri, kerana ia merupakan antara sebab-sebab kebinasaan yang membinasakan seseorang. Dia perlulah yakin bahawa, pendapatnya merupakan suatu kebenaran (di sisinya), namun ia tidaklah mashum (terpelihara dari kesalahan), kerana ianya masih pendapat seorang manusia biasa (bukan seorang Nabi), yang terdedah kepada kebenaran dan kesalahan. “…Imam As-Syafi’e berkata: “Pendapatku benar, dan boleh jadi salah. Pendapat orang lain salah (di sisiku), dan boleh jadi benar (di sisi Allah s.w.t.).” “...Saya mendengar ada yang bertanya: bagaimana pendapatku salah, sedangkan pendapatku berasaskan Hadis Rasulullah s.a.w., dan ia merupakan wahyu? Adakah wahyu boleh salah?” “Saya menjawab kepada mereka: “ Hadis merupakan wahyu, tetapi kefahaman kamu tentang hadis tersebut bukan wahyu. Bahkan ianya (kefahaman kamu tersebut) merupakan pendapat, yang boleh jadi orang lain bercanggah dengan kefahamanmu tersebut, sepertimana ada antara para sahabat yang bercanggah dengan lafaz hadis dalam kisah Bani Quraidhah, dan mereka solat di pertengahan jalan, dan menurut Ibn Taimiyah, mereka adalah benar (dalam memahami hadis tersebut)… “…Sesungguhnya, hendaklah kita berbaik sangka dengan orang lain, terutamanya sesama ahli dakwah, dan seboleh-bolehnya kita mentafsirkan sesuatu keadaan orang lain, dengan sebaik-baik kemungkinan dan tafsiran, dan sedaya-upaya mencari ruang untuk bersikap memaafkan sesama mereka, kerana orang yang beriman sentiasa memaafkan sesama insan dan bersikap berlapang dada (dalam keuzuran dan kesalahan seseorang), sedangkan orang yang munafiq sentiasa mencari keaiban seseorang…tidak boleh perselisihan pendapat yang dibolehkan dalam Islam, membawa kepada perpecahan yang dilarang oleh Islam”[1] Semoga kita mendapat manfaat dari teguran dan peringatan Al-Allamah Dr. Yusuf Al-Qaradhawi tersebut, dan semoga Allah s.w.t. membalasinya dengan sebaik-baik balasan, atas usahanya untuk memperbaiki umat Islam dan mengembalikan martabat mereka, amin. [1] Ummatuna baina Al-Qornain, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, Dar As-Syuruq, m/s 223-227 |
Kamis, 20 Oktober 2011
Siri Penolakan Terhadap Wahabi (9)
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar