Laman

Jumat, 15 April 2011

Dialog Antara Hasan bin Ali a.s dengan Muawiyah dan rekan-rekannya

Pengenalan
Tuntutan Hasan b. `Ali terhadap jawatan khalifah selepas bapanya amatlah ketara meskipun pada akhirnya beliau terpaksa melepaskan jawatan tersebut demi menjaga dirinya, keluarganya serta Syi`ahnya dari ancaman Mu`awiyah b. Abi Sufyan. Di dalam perbincangan mereka mengenai Imamah/Khilafah, caci mencaci telah berlaku. Sekali pandang ia tidak harus berlaku kerana mereka tergolong di kalangan para sahabat Rasulullah s.`a.w. Apatah lagi cacian mereka terhadap Hasan b. `Ali di mana beliau dan bapanya merupakan Ahl al-Bait Rasulullah s.`a.w.



Mungkin kilauan dunia telah membuat manusia melupai Ahl al-Bait Rasulullah s.`a.w. Semuanya telah berlaku di dalam dunia Islam dan dicatat oleh para ulama dari golongan Ahl al-Sunnah dan Syi`ah. Persoalan yang timbul sekiranya para sahabat boleh mencaci sesama mereka, sementara orang lain yang bukan bertaraf sahabat tidak boleh menyebut dan menulis perbuatan mereka yang menyalahi nas, apakah keistimewaan mereka sehingga mereka diberi laluan yang istimewa sehingga boleh menyalahi Allah dan RasulNya?
Di sini diperturunkan hujah-hujah Hasan b. `Ali khususnya mengenai Imamah/Khilafah terhadap Mu`awiyah dan rakan-rakannya berdasarkan catatan al-`Allamah al-Tabarsi seorang ulama Mazhab Ja`fari abad keenam Hijrah di dalam bukunya al-Ihtijaj.1 Untuk menguatkan hujah, penulis membuat rujukan kepada buku-buku para ulama Ahl al-Sunnah.
Diriwayatkan daripada al-Sya`bi, Abi Mikhnaf dan Yazid b. Habib al-Misri sesungguhnya mereka berkata: Tidak terdapat per­tengkaran dalam Islam satu hari di mana orang ramai berkumpul di satu majlis yang lebih riuh rendah dari majlis yang dihadiri oleh Mu`awiyah b. Abi Sufyan, `Amru b. `Uthman b. `Affan, `Amru b. al-`As, `Atbah b. Abi Sufyan, al-Walid b. `Uqbah b. Abi Mu`it, al-Mughirah b. Syu`bah, semua mempunyai nada yang sama.
Amru b. al-`As berkata kepada Mu`awiyah: Kenapa anda tidak mengutus kepada Hasan b. `Ali supaya tampil ke mari, kerana beliau telah menghidupkan sunnah bapanya. Sepatu digerakkan di belakangnya, jika diperintah akan dipatuhi. Dia berkata: Percaya­lah, dua perkara ini akan mengangkatnya kepada perkara yang lebih besar daripada itu. Sekiranya anda mengutuskan kepadanya, nes­caya kami boleh menghinanya dan bapanya. Kami akan mencacinya dan bapanya. Kami akan memperkecilkannya dan bapanya. Kami boleh terus melakukannya sehingga beliau membenarkan anda menge­nainya.
Mu`awiyah berkata kepada mereka: Aku khuatir kalian akan dibelenggu kehinaan sehingga kalian memasuki kubur. Demi Tuhan, aku melihatnya dengan penuh kebencian. Lantaran itu aku akan memalukannya. Sesungguhnya jika aku mengutuskan kepadanya hanya­lah semata-mata bagi mengajarnya di hadapan kalian.2
`Amru b. al-`As berkata: Adakah anda khuatir kebatilannya mengatasi kebenaran kita, kesakitannya mengatasi kesihatan kita? Dia menjawab: Tidak. Dia berkata: Jikalaulah begitu keadaannya, maka jemputlah beliau kemari.
`Utbah berkata: Aku kurang pasti dengan pendapat ini. Demi Tuhan, kalian tidak akan mampu untuk menghadapinya tetapi beliau mampu untuk menghadapi kalian kerana beliau Ahl al-Bait yang handal berdebat. Lalu mereka menghantar utusan seorang lelaki kepada Hasan.
Apabila utusan itu sampai kepadanya, lantas dia berkata kepada Hasan: Mu`awiyah menjemput anda. Hasan bertanya: siapa bersamanya? Utusan itu menjawab: Di sisinya si polan dan si polan. Dia menyebut nama-nama mereka semua.
Hasan berkata: Malang untuk mereka dan azab akan mendatangi mereka dalam keadaan mereka tidak menyedarinya. Kemudian beliau berkata: Wahai jariah (hamba perempuan) hulurkan kain kepadaku. Kemudian beliau berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya dengan Engkau aku menolak ancaman mereka, aku pohon perlindungan dengan Engkau daripada kejahatan mereka, aku pohon pertolongan dengan Engkau ke atas mereka. Lantaran itu pertahankan aku daripada mereka menurut kehendak Engkau, bilamana Engkau kehendaki dengan
segala kekuatan Engkau ya arhama al-Rahimin.
Beliau berkata kepada utusan itu: Ini adalah doa bagi mem­ohon kejayaan. Manakala mendatangi Mu`awiyah, beliau dialu-alukan oleh Mu`awiyah dan beliau berjabat tangan dengan Mu`awiyah.
Hasan A.S berkata: Sesungguhnya orang yang anda mengalu-alukan kedatangannya adalah satu keselamatan untuknya dan “berja­bat tangan” merupakan satu perdamaian. Mu`awiyah berkata: Ya! Mereka mengutuskan anda ke mari supaya anda memperakui bahawa sesungguhnya `Uthman telah dibunuh secara kejam dan sesungguhnya bapa andalah yang membunuhnya. Oleh itu dengarlah kata-kata mereka kemudian berilah jawapannya kepada mereka sebagaimana mereka berkata kepada anda. Walau bagaimanapun kedudukanku tidak menghalang anda dari memberi jawapan kepada mereka.
Hasan berkata: Subhanallah, rumah adalah rumah anda dan keizinan adalah terserah kepada anda! Demi Allah jika aku mem­beri jawapan kepada mereka menurut apa yang mereka kehendaki sesungguhnya aku terasa malu kepada anda untuk menerangkan keja­hatan anda. Dan jika mereka mengalahkan anda menurut apa yang anda kehendaki, sesungguhnya aku terasa malu kepada anda untuk menerangkan kelemahan anda. Justeru itu yang mana satu anda memperakuinya dan yang mana satu anda memohon maaf. Sesungguhnya jika aku mengetahui kedudukan dan pertemuan mereka, nescaya aku datang bersama Bani Hasyim seramai bilangan mereka. Disebabkan aku berkeseorangan, mereka akan lebih bertindak liar terhadapku. sesungguhnya Allah `Azza Wajalla waliku hari ini dan selepasnya. Lantaran itu perintahlah mereka dan biarlah mereka bercakap sesuatu, aku akan mendengarnya. Tidak ada kekuatan melainkan dengan Allah S.W.T.
`Amru b. `Uthman b. `Affan berkata: Kalau boleh aku tidak ingin mendengar seperti hari ini seorang pun daripada Bani `Abdu l-Muttalib selepas pembunuhan `Uthman. Sedangkan dia adalah sepupu mereka, mempunyai kedudukan yang tinggi dalam Islam teru­tamanya di sisi Rasulullah (s.`a.w). Justeru itu sejahat-jahat penghormatan Allah terhadap mereka kerana mereka telah menga­lirkan darahnya secara permusuhan dan menabur fitnah, kerana hasad dengki mereka bagi menuntut apa yang bukan menjadi milik mereka. Apatah lagi dia di kalangan orang-orang yang terdahulu memeluk Islam dan kedudukannya yang tinggi di sisi Allah dan RasulNya. Alangkah hinanya jika Hasan dan seluruh Bani `Abdu l-Muttalib menjadi pembunuh `Uthman! Mereka masih hidup berjalan ke mana mana sedangkan `Uthman mati berlumuran darahnya. Di samping itu kami mempunyai hak bagi menuntut bela di atas sembi­lan belas darah Bani Umaiyyah yang dibunuh di Badr.
Kemudian `Amru b. al-`As berkata: Dia memuji Allah kemudian berkata: Di mana satu anak lelaki Abu Turab yang kami utuskan kepada anda bagi kami meminta pengakuan dari anda bahawa sesung­guhnya bapa andalah yang telah meracuni Abu Bakr al-Siddiq, bersubahat di dalam pembunuhan `Umar al-Faruq dan pembunuhan `Uthman dhi al-Nuraini secara zalim. Beliau menuntut (khalifah) bukan daripada haknya. Dan menabur fitnah mengenainya.
Kemudian dia berkata: Sesungguhnya kalian wahai Bani Abdu l-Muttalib, Allah tidak mengurniakan al-Mulk (pemerintahan) kepada kalian. Lantas kalian menguasai apa yang tidak halal bagi kalian. Anda wahai Hasan, anda mengatakan bahawa anda adalah Amir al-Mukminin, sedangkan anda tidak mempunyai daya fikir mengenai-nya. Lantaran itu tidak hairanlah jika aku meninggalkan si bodoh berada di kalangan Quraisy. Ini disebabkan perbuatan bapa anda yang jahat. Sesungguhnya kami menjemput anda adalah semata-mata untuk mencaci anda dan bapa anda. Justeru itu anda tidak mampu mencela kami apatah lagi membohongi kami menge­nainya. Tetapi sekiranya anda dapati kami membohongi kalian di dalam sesuatu perkara atau kami mengatakan sesuatu tentang anda dan sesuatu terhadap anda menyala­hi kebenaran, maka cakaplah jika tidak, ketahuilah bahawa sesungguhnya anda dan bapa anda adalah sejahat-jahat makhluk Allah. Adapun mengenai bapa anda memadailah Allah telah membunuhnya dan mengasingkannya. Adapun anda berada di dalam kekuasaan kami, kami boleh membuat pilihan. Demi Allah sekiranya kami membunuh kalian tidaklah (kami) berdosa di sisi Allah dan tidak mendatang­kan keaiban di sisi orang ramai.
Kemudian `Atbah bin Abu Sufyan berkata: Wahai Hasan, sesung­guhnya bapa anda adalah sejahat-jahat Quraisy bagi Quraisy. Dia telah memutuskan silat al-Rahim di kalangan Quraisy dan menga­lirkan darahnya. Sesungguhnya anda adalah di kalangan pembunuh-pembunuh `Uthman. Justeru itu kami berhak membunuh anda kerananya. Sesungguhnya anda wajib membayar ganti rugi sebagaimana disebutkan di dalam kitab Allah Azza Wajalla dan kamilah orang yang memerangi anda mengenainya. Adapun bapa anda, Allah telah membunuhnya dan ia sudah selesai. Adapun harapan anda bagi mendapatkan khilafah, maka anda bukanlah orang yang layak mengenainya di dalam semua segi.
Kemudian al-Walid bin `Uqbah bin Abi Mu`it bercakap lebih kurang kepada para sahabatnya dan dia berkata: Wahai Bani Hasyim! Kalianlah orang pertama yang telah mendedahkan keaiban `Uthman dan mengumpulkan orang ramai bagi menentangnya. Sehingga kalian membunuhnya kerana inginkan al-Mulk (pemerintahan), memutuskan Silat al-Rahim, membinasakan umat, mengalirkan darah mereka kerana mengejar pemerintahan, mengejar dunia yang buruk dan mencintainya, sedangkan `Uthman adalah bapa saudara kalian. Dia adalah ipar kalian dan sebaik-baik ipar. Sesungguhnya ka­lianlah orang pertama yang hasad kepadanya dan mencacinya. Kemudian kalian merencanakan pembunuhannya. Bagaimana pula kalian fikir tentang azab Allah terhadap kalian.
Kemudian Mughirah bin Syu`bah pula berkata: Wahai Hasan! Sesungguhnya `Uthman telah dibunuh secara zalim. Justeru itu bapa anda tidak dapat mengelakkan dirinya dari pembunuhan terse­but. Tetapi kami mengatakan bahawa bapa anda telah melindungi pembunuh-pembunuh `Uthman dengan berbagai cara. Sesungguhnya dia meredhai pembunuhan itu. Demi Allah dia mempunyai pedang dan lidah yang panjang. Dia membunuh orang yang hidup dan mencela orang yang mati.
Bani Umayyah lebih baik daripada Bani Hasyim daripada Bani Hasyim terhadap Umayyah. Mu`awiyah adalah lebih baik untuk anda wahai Hasan daripada anda untuk Mu`awiyah. Bapa anda telah menentang (nasaba) Rasulullah s.`a.w. pada masa hidupnya dan telah
menutupinya sebelum kewafatannya dan ingin membunuhnya. Perkara tersebut diketahui oleh Rasulullah s.`a.w. kemudian dia benci memberi bai`ah kepada Abu Bakr sehingga dia bertindak balas, kemudian meracuninya sehingga mati. Selepas itu dia menentang `Umar sehingga dia berhasrat memotong tengkoknya. Kemudian dia menyokong pembunuhannya. Selepas itu dia mencaci `Uthman sehing­ga dia membunuhnya pula. Lantaran itu dia terlibat di dalam pembunuhan mereka. Manakah kedudukannya di sisi Allah wahai Hasan!
Sesungguhnya Allah telah menjadikan sultan (pemerintah) sebagai wali kepada orang yang dibunuh di dalam kitabNya. Justeru itu Mu`awiyah adalah wali orang yang dibunuh tanpa hak. Justeru itu adalah wajar jika kami membunuh anda dan saudara lelaki anda. Demi Allah darah `Ali tidaklah lebih berbahaya dari darah `Uth­man. Lantaran itu Allah tidak akan menghimpunkan pada kalian dua perkara wahai Bani `Abdu l-Muttalib, pemerintahan (al-Mulk) dan kenabian (al-Nubuwwah). Kemudian dia berdiam diri.
Lalu Hasan bin `Ali berkata: Segala puji bagi Allah yang telah memberi hidayat kepada orang yang awal kalian dengan orang yang awal kami dan orang yang akhir kalian dengan orang yang akhir kami. Salawat dan salam ke atas datukku Muhammad nabi dan keluarganya. Kalian dengarlah jawapanku dan kalian fahamilah baik-baik. Dengan andalah aku mulai wahai Mu`awiyah. Demi Tuhan wahai Azraq (Mu`awiyah) tidak seorang pun mencaciku selain dari­pada anda. Mereka itu tidak mencaciku. Tidak mencelaku selain daripada anda dan mereka itu tidak mencelaku tetapi anda telah mencela dan mencaciku. Itu adalah petanda kejahatan anda dan pendapat anda kerana memusuhi kami dan hasad dengki anda kepada kami serta permusuhan anda terhadap Muhammad s.`a.w. dahulu dan sekarang.
Demi Allah sekiranya aku dan mereka itu wahai Azraq berme­syuarat di Masjid Rasulullah s.`a.w. dan sekitar kami orang-orang Muhajirin dan Ansar, nescaya mereka tidak mampu bercakap sedemi­kian rupa dan mereka tidak mengalu-alukan kedatanganku sebegini. Justeru itu dengarlah daripadaku wahai kumpulan yang menentangku. Janganlah kalian menyembunyikan kebenaran yang kalian mengeta­huinya. Dan janganlah kalian membenarkan kebatilan sekiranya aku berkata mengenainya. Aku akan mulai percakapanku dengan anda wahai Mu`awiyah dan aku tidak akan berkata sesuatu pun melainkan ia bertepatan dengan anda.
1.Aku menyeru kalian dengan nama Allah, adakah kalian mengetahui bahawa lelaki yang kalian telah mencacinya itu adalah orang yang telah melakukan solat di hadapan dua kiblat. Dan anda telah melihat kedua-dua kitab kesesatan menyembah al-Lata dan al-`Uzza?3 Dia juga telah mela­kukan dua bai`ah, bai`ah al-Ridwan dan bai`ah al-Fath sedangkan anda wahai Mu`awiyah, di bai`ah pertama kafir sementara di bai`ah kedua anda menarik balik bai`ah anda (nakithin).4
2. Aku menyeru kalian dengan nama Allah adakah kalian mengetahui bahawa sesungguhnya Rasulullah (s.`a.w.) telah mengepung Bani Quraidah dan Bani Nadhir kemudian beliau (s.`a.w.) mengutus `Umar b. al-Khattab bersama bendera Muhajirin dan Sa`d b. Mu`adh bersa­ma bendera Ansar. Adapun Sa`d b. Mu`adh pergi ke medan perang dan tercedera. Adapun `Umar telah lari dari medan peperangan. Dia mengatakan bahawa para sahabatnya pengecut tetapi para saha­batnya pula mengatakan dia adalah seorang yang pengecut.5
Lantas Rasulullah (s.`a.w.) bersabda: “Besok aku akan mem­beri bendera kepada seorang lelaki di mana dia mencintai Allah dan RasulNya, dan Allah dan RasulNya mencintainya terus mara tanpa lari kemudian terus berjuang sehingga Allah memberi keme­nangan melaluinya”.6
Abu Bakr, `Umar serta orang-orang Muhajirin dan Ansar kurang senang mengenainya. `Ali pada masa itu mengidap penyakit mata. Rasul (s.`a.w.) menjemputnya lalu meniupkan di matanya lalu dia pun sembuh.7 Kemudian beliau memberikan kepadanya satu bendera.8 Dia pun pergi berjuang sehingga mendapat kemenangan dengan perto­longan Allah S.W.T. Sedangkan anda pada masa itu di Makkah adalah seorang musuh Allah dan RasulNya. Adakah sama di antara lelaki yang mencintai sesuatu kerana Allah dan RasulNya lelaki yang memusuhi Allah dan RasulNya?9 Aku bersumpah dengan nama Allah bahawa hati anda tidak pernah menerima Islam, tetapi lidah anda takut. Oleh itu anda bercakap apa yang tidak ada di hati anda. Lihat umpamanya hadis Nabi s.`a.w. kepada `Ali A.S: ” Tidak akan mencintai anda melainkan dia seorang mukmin, dan tidak membencikan anda melainkan dia seorang munafiq”.10
3. Aku menyeru kalian dengan nama Allah adakah kalian mengetahui bahawa Rasulullah (s.`a.w.) telah melantiknya (`Ali) di Madinah ebelum peperangan Tabuk tanpa memarahi dan bencinya. Lalu orang-orang munafiq bercakap mengenainya. Maka beliau (`Ali) berkata: Janganlah anda meninggalkan aku wahai Rasulullah kerana aku tidak pernah meninggalkan anda di dalam mana-mana peperangan. Lantas Rasulullah (s.`a.w.) bersabda: Anda adalah wasiku, khali­fahku pada keluargaku samalah kedudukan Harun di sisi Musa”. Kemudian beliau memegang tangan `Ali A.S seraya bersabda: “Wahai manusia! Siapa yang menjadikan aku wali, maka sesungguhnya dia telah menjadikan Allah wali. Dan siapa yang telah menjadikan `Ali wali maka dia telah menjadikan aku wali. Siapa yang telah mentaati aku, maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah. Dan siapa yang mentaati `Ali maka dia mentaati aku. Dan siapa yang mencintaiku, maka dia mencintai Allah. Dan siapa yang mencintai `Ali, maka dia telah mencintaiku”.11
4. Aku menyeru kalian dengan nama Allah adakah kalian mengetahui bahawa sesungguhnya Rasulullah (s.`a.w.) bersabda pada Haji Wida`: ” Wahai manusia sesungguhnya aku telah tinggalkan kepada kalian dan kalian tidak akan sesat selepasnya; Kitab Allah dan itrah Ahl l-Baitku. Justeru itu halalkanlah halalnya dan haramkanlah haramnya. Beramallah menurut muhkamnya dan berimanlah menurut mutasyabihahnya.
Dan katakanlah: Kami percaya apa yang telah diturunkan Allah (al-Kitab), cintailah Ahl l-Baitku dan itrahku. Hormatilah orang-orang yang mewalikan mereka. Tolonglah mereka bagi menentang musuh-musuh mereka. Sesungguhnya kedua-duanya akan sentiasa berada pada kalian sehinggalah dikembalikan ke atasku di Haud pada hari kiamat.12
Kemudian beliau menjemput `Ali ketika beliau berdiri di atas mimbar lalu menarik tangannya seraya bersabda: “Wahai Tuhanku, hormatilah orang yang mewalikannya, musuhilah orang yang menen­tangnya. Wahai Tuhanku, jangan jadikan di bumi ini tempat duduk penentang-penentang `Ali, dan di langit tidak ada tempat naik serta jadikanlah mereka di neraka yang terkebawah”.13
5. Aku menyeru kalian dengan nama Allah adakah kalian mengetahui bahawa sesungguhnya Rasulullah (s.`a.w.) bersabda: Andalah orang yang boleh mencebok haudku di hari kiamat. Anda akan membekalkan air daripadanya sebagaimana seorang daripada kamu membekalkan ” wanita asing ” di tengah untanya”.14
6. Aku menyeru kalian dengan nama Allah, adakah kalian mengetahui bahawa `Ali telah berjumpanya (s.`a.w.) ketika sakit yang membawa kewafatannya, maka Rasulullah (s.`a.w.) menangis. Lalu `Ali berkata: Apakah yang membuat anda menangis wahai Rasulullah? Beliau bersabda: “Apa yang membuatkan aku menangis adalah kerana keilmuanku bahawa hasad dengki masih membara di hati umat ini, tetapi mereka tidak berani menzahirkannya sehingga aku wafat”.15
7. Aku menyeru kalian dengan nama Allah, adakah kalian mengetahui bahawa Rasulullah (s.`a.w.) ketika hampir wafat, Ahlu l-Baitnya berkumpul dan beliau bersabda: “Sesungguhnya Ahl al-Baitku pada kalian sepertilah bahtera Nuh. Siapa yang menaikinya berjaya dan siapa yang meninggalkannya tenggelam”.16
8. Aku menyeru kalian dengan nama Allah adakah kalian mengetahui bahawa para sahabat Rasulullah (s.`a.w.) telah menerima wilayah `Ali pada masa Rasulullah dan pada masa hidupnya?17
9. Aku menyeru kalian dengan nama Allah adakah kalian mengetahui bahawa sesungguhnya `Ali adalah orang yang pertama mengharamkan segala keinginan duniawi ke atas dirinya, lantas Allah `Azza Wajalla menurunkan ayat Surah al-Maidah 5: 88-89 “Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu kalian mengharamkan apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang
yang melampaui batas. Dan makanlah makanan yang halal lagi baik daripada apa yang Allah telah rezekikan kepada kamu, dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman kepadaNya”.
Di sisinya segala jenis ilmu; ilmu mengenai hukum, kefasihan bercakap, keilmuan yang utuh dan sebab-sebab turunnya al-Qur’an.18 Beliau adalah di kalangan kumpulan di mana kami tidak mengetahui mereka melengkapi sepuluh orang yang telah diberitahukan Allah bahawa mereka adalah Mukminin. Sedangkan kalian di kalangan kumpulan yang hampir bilangan mereka dilaknati Allah di atas lidah Rasulullah (s.`a.w.). Lantaran itu aku menjadi saksi untuk kalian dan menjadi saksi bagi menentang kalian; sesungguhnya kalian adalah orang-orang yang dilaknati Allah di atas lidah nabi-Nya.19
10. Aku menyeru kalian dengan nama Allah adakah kalian mengetahui bahawa sesungguhnya Rasulullah (s.`a.w.) mengutus kepada anda supaya anda menulis bagi pihaknya kepada Bani Khuzaimah ketika Khalid b. Walid melakukan angkara terhadap mereka, maka utusan itu berpaling kepadanya (Mu`awiyah) lalu berkata: Dia sedang makan. Maka utusan berpaling kepada anda sebanyak tiga kali. Dan setiap kali dia berpaling kepada anda dia berkata: Dia sedang makan. Maka Rasululullah (s.`a.w.) bersabda: ” Wahai Tuhanku, janganlah Engkau membuat perutnya terasa kenyang.” Justeru itu sabda itu adalah untuk anda dan makanan anda sehingga hari kia­mat.
11. Aku menyeru kalian dengan nama Allah adakah kalian mengeta­hui: Sesungguhnya apa yang aku perkatakan itu benar. Sesungguhnya wahai Mu`awiyah anda menarik dengan bapa anda di atas seekor unta merah diterajui oleh saudara anda yang duduk. Ini berlaku di hari al-Ahzab. Maka Rasulullah (s.`a.w.) melaknati pemandu, penunggang dan penarik. Bapa anda adalah penunggang, anda penar­ik dan saudara anda yang duduk adalah pemandu. 20
12. Aku menyeru kalian dengan nama Allah adakah kalian mengetahui bahawa sesungguhnya Rasulullah (s.`a.w.) telah melaknati Abu Sufyan:
Pertama: Ketika beliau (s.`a.w.) keluar dari Makkah ke Madinah dan Abu Sufyan datang dari Syam. Lantas Abu Sufyan marah lalu mencacinya dan mengancamnya dan berhasrat untuk melakukan keka­saran terhadapnya tetapi Allah memalingkannya dari melaksanakan niat jahatnya.
Kedua: Hari al-`Air (keldai) di mana Abu Sufyan mengusirnya supaya ia tidak menjadi benteng kepada Rasulullah (s.`a.w.).
Ketiga: Hari Uhud di mana Rasulullah (s.`a.w.) bersabda: ” Allah adalah maula kami sedangkan anda tidak mempunyai maula.” Abu Sufyan berkata: Kami ada al-`Uzza sedangkan kalian tidak mempun­yainya. Lantaran itu Allah, para MalaikatNya, para RasulNya dan Mukminun melaknatinya.
Keempat: Hari Hunain di mana Abu Sufyan mulai mengumpulkan Qurai­sy dan Hawazin sementara `Uyainah mengumpulkan Ghatafan dan Yahudi. Lalu Allah menentang mereka dengan kemarahan mereka sendiri sehingga mereka tidak dapat mencapai kemenangan.
Ini adalah firman Allah `Azza Wajalla diturunkan di dalam dua surah kedua-duanya mengenai Abu Sufyan dan para sahabatnya sebagai kafir dan anda wahai Mu`awiyah di hari itu seorang musyr­ik menurut pendapat bapa anda di Makkah.21 Sedangkan `Ali di hari itu bersama Rasulullah (s.`a.w.) menurut “pendapatnya” dan agamanya.
Kelima: Firman Allah `Azza Wajalla Surah al-Fath 48: 25 “Dan merekalah orang-orang kafir yang menghalangi kamu dari (masuk) Masjid Haram dan menghalangi haiwan korban sampai ke tempat penyembelihannya”
Anda, bapa anda dan musyrikin Quraisy menghalang Rasulullah (s.`a.w.). Justeru itu Allah melaknatinya dengan laknat yang meliputinya dan zuriatnya sehingga hari kiamat.22
Keenam: Hari al-Ahzab di mana Abu Sufyan mengumpulkan Quraisy sementara `Uyainah b. Hasin b. Badr mengumpulkan Ghatafan. Lantas Rasulullah (s.`a.w.) melaknati pemandu, pengikut dan penarik.
Ditanya Rasulullah: Adakah di kalangan penunggang itu muk­min? Beliau bersabda: Laknat tidak akan kena mukmin dari kalan­gan penunggang (al-Atba`). Tetapi di kalangan pemandu tidak ada seorang pun daripada mereka mukmin, tidak ada seorang pun yang menyahuti seruan dan tidak seorang pun berjaya.
Ketujuh: Hari Thaniyyah, di mana Rasulullah (s.`a.w.) hampir dibunuh oleh dua belas orang lelaki. Tujuh daripada mereka dari Bani Umayyah, lima daripada semua kabilah Quraisy. Justeru itu Allah dan RasulNya melaknati orang-orang yang memasuki al-Thaniyyah selain daripada Nabi (s.`a.w.). 23
13. Aku menyeru kalian dengan nama Allah adakah kalian mengetahui sesungguhnya Abu Sufyan telah berjumpa `Uthman ketika dia dibai`ah di Masjid Rasulullah (s.`a.w.), dia berkata: Wahai anak saudaraku! Adakah pengintip ke atas kita sekarang? Dia menjawab: Tidak ada. Maka Abu Sufyan berkata: Pusingkanlah jawatan khali­fah wahai pemuda-pemuda Bani Umayyah. Demi orang yang di mana diri Abu Sufyan di tanganNya, tidak ada syurga dan neraka?24
14. Aku menyeru kalian dengan nama Allah adakah kalian mengetahui bahawa sesungguhnya Abu Sufyan memegang tangan Husain ketika `Uthman dibai`ah dan berkata: Wahai anak saudaraku, marilah keluar bersama-samaku ke kubur Baqi`. Lalu beliau pun keluar bersamanya sehinggalah sampai di pertengahan kubur, dia menendang kubur itu dan melaung dengan sekuat-kuatnya: Wahai penghuni kubur! Perkara di mana kalian memerangi kami kerananya sekarang ia berada di tangan kami sedangkan kalian telah menjadi reput. Lantas Husain b. `Ali A.S berkata: Allah menjadikan uban anda sehodoh-hodohnya dan Dia menjadikan muka anda sehodoh-hodohnya. Kemudian beliau melepaskan tangannya lalu meninggalkannya keseor­angan. Sekiranya al-Nu`man b. Basyir tidak memimpin tangannya (Abu Sufyan) dan mengembalikannya ke Madinah, nescaya dia mati di situ.
Ini adalah untuk anda wahai Mu`awiyah. Adakah anda mampu menolak hujah kami dan hujah orang yang anda telah melaknatinya bahawa sesungguhnya bapa anda Abu Sufyan berhasrat untuk menjadi Muslim, tetapi anda telah mengutuskan kepadanya sebuah bait syair yang menonjolkan kelebihan Quraisy dan lain-lain. Justeru itu anda telah menghalangnya dari menerima Islam dan anda telah menghalangnya.25
Di antaranya `Umar b. al-Khattab telah melantik anda menjadi wali (gabenor) di Syam, tetapi anda mengkhianatinya. Kemudian `Uthman melantik anda menjadi wali, tetapi anda hanya menunggu saat kehancurannya. Kemudian lebih daripada itu anda beramai-ramai menentang Allah dan RasulNya. Sesungguhnya anda telah memerangi `Ali A.S sedangkan anda telah mengenalinya sebagai orang yang pertama memeluk Islam, kelebihannya, keilmuannya di dalam segala urusan.26
Malah beliau lebih layak daripada anda dan selain daripada anda di sisi Allah dan RasulNya. Anda telah menegahnya dan membuat orang ramai di dalam kesamaran. Anda telah mengalirkan darah makhluk Allah dengan tipudaya dan kelicikan anda. Perbuatan orang yang tidak beriman dengan hari akhirat dan tidak takutkan pembalasan. Malah apabila sampai ajal, anda akan ber­pindah ke tempat yang paling celaka sedangkan `Ali ke tempat yang paling baik. Dan Allah pasti menunggu anda.27 Ini adalah khusus untuk anda wahai Mu`awiyah. Adapun keai­ban-keaiban anda yang lain aku tidak mahu menyebutkannya kerana aku tidak mahu memanjangkan perkara ini.
Adapun anda wahai `Amru b. `Uthman, jawapanku terhadap anda tidak akan mencapai maksudnya disebabkan kebodohan anda. Sekir­anya anda mengikuti perkara-perkara tersebut, anda akan mengeta­hui bahawa anda sepertilah nyamuk manakala ia berkata kepada lebah: Berpeganglah sekuat-kuatnya kerana aku ingin turun di atas anda. Lalu lebah menjawab: Aku tidak pun menyedari kejatuhan anda di atasku. Bagaimana turunnya anda ke atasku akan menyulit­kanku? Demi Allah sesungguhnya aku tidak merasai bahawa anda secara terang memusuhiku sehingga ia menyulitkanku. Dan aku akan memberi jawapan kepada kata-kata anda: Adakah cacian anda terha­dap `Ali A.S. akan mengurangkan kemuliaannya atau menjauhkannya daripada Rasulullah (s.`a.w.)? Atau ujiannya itu mencacatkan Islam, atau tidak ada keadilan di dalam hukum? Atau cintakan dunia? Sekiranya anda menjawab salah satu daripada soalan-soalan tersebut, maka sesungguhnya anda telah berbohong.
Adapun kata-kata anda: Sesungguhnya bagi kalian pada kami sembilan belas hutang darah musyrikin Bani Umayyah di dalam peperangan Badr, jawapanku bahawa Allah dan RasulNya telah membunuh mereka semua.
Mudah-mudahan kamu akan membunuh di kalangan Bani Hasyim sembilan belas, dan tiga selepas sembilan belas kemudian dibunuh di kalangan Bani Umayyah sembilan belas. Sembilan belas sekaligus selain apa yang telah dibunuh di kalangan Bani Umayyah di mana bilangan mereka sebenar tidak diketahui melainkan Allah. Sesungguhnya Rasulullah (s.`a.w.) bersabda: “Apabila sampai Bani Umayyah tiga puluh orang lelaki, mereka membahagi-bahagikan harta Allah di kalangan mereka. Mengambil hamba-hambaNya sebagai milik, kitabNya sebagai lambang semata-mata. Apabila mereka meningkat tiga ratus sepuluh orang, mereka berhak dilaknati. Dan apabila mereka meningkat kepada empat ratus tujuh puluh lima, kebinasaan mereka lebih cepat daripada mengunyah sebiji kurma”. Begitu juga Hakam b. Abi al-`As termasuk di dalam firman dan hadis itu juga. Rasulullah (s.`a.w.) bersabda: Rendahlah suara kalian kerana Bani Umayyah sedang mendengar.
Hal demikian itu berlaku manakala Rasulullah (s.`a.w.) melhat mereka di dalam mimpinya, begitu juga orang-orang yang memiliki urusan khalifah selepasnya. Ia meresahkan Rasulullah (s.`a.w.). Lalu Allah `Azza Wajalla berfirman maksudnya “Dan Kami tidak menjadikan mimpi yang telah Kami perlihatkan kepadamu, melainkan sebagai ujian bagi manusia dan (begitu pula) pohon kayu yang terkutuk dalam al-Qur’an” (Surah al-Isra’ 17: 60) iaitu Bani Umayyah. Allah juga berfirman “Malam al-Qadar (kemuliaan) itu lebih baik dari seribu bulan” (Surah al-Qadar 97: 3). Aku menja­di saksi untuk kalian dan ke atas kalian bahawa kekuasaan kalian selepas pembunuhan `Ali hanya seribu bulan yang telah ditetapkan oleh Allah `Azza Wajalla di dalam kitabNya.
Adapun anda wahai `Amru b. al-`As yang dilaknati Allah, sesungguhnya anda adalah anjing (ganas). Ibu anda adalah perem­puan jahat. Anda dilahirkan di atas “hamparan” yang dikongsikan oleh beberapa lelaki Quraisy seperti Abu Sufyan b. al-Harb, al-Walid b. Mughirah, `Uthman b. al-Harth, al-Nadar b. Kaldah dan al-`As b. Wa’il. Setiap mereka menyangka bahawa anda adalah anak lelakinya. Kemudian seorang yang paling jahat daripada mereka mendapat kemenangan di atas anda.28
Kemudian anda berkhutbah di dalam keadaan berdiri: Aku membenci Muhammad. Al-`As b. Wa’il berkata: Sesungguhnya Muham­mad adalah seorang lelaki yang terputus keturunannya. Sekiranya beliau mati nescaya terputuslah keturunannya. Lantas Allah S.W.T. menurunkan ayat Surah al-Kauthar 108: 3 “Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus”.
Ibu anda pernah datang menawarkan dirinya kepada Bani `Abd Qais supaya menidurinya (bughyah), dia mendatangi mereka menurut giliran mereka sama ada di dalam perjalanan ataupun di wadi-wadi mereka. Kemudian anda pada setiap tempat dipersaksikan oleh Rasulullah (s.`a.w.) sebagai musuh yang paling kuat menentangnya dan yang paling pembohong. Kemudian anda adalah di antara penum­pang-penumpang bahtera; orang-orang yang mendatangi Raja Najjasyi bagi membunuh Ja`far b. Abu Talib dan orang-orang Muhajirin lain memohon perlindungan Raja Najjasyi. Tetapi tipudaya tersebut terserlah dan membuat datuk anda berada di bawah (gagal) dan menghancurkan niat jahatnya serta usaha anda yang sia-sia. Dia telah menjadikan kalimah orang-orang kafir di bawah dan kalimah Allah di atas.29
Adapun kata-kata anda tentang `Uthman, maka anda yang tidak mempunyai sifat malu dan keagamaan, anda telah menyalakan api ke atasnya. Kemudian anda telah melarikan diri ke Palestin semata-mata kerana menunggu giliran. Manakala berita pembunuhannya sampai, anda telah menawarkan diri anda kepada Mu`awiyah. Lantas anda menjual agama anda kepadanya dengan dunia orang lain wahai si jahat. Kami tidak mencela anda kerana memarahi kami dan kami tidak juga mengkritik anda kerana cintakan kami. Anda adalah musuh Bani Hasyim pada masa Jahiliyah dan Islam.
Sesungguhnya anda telah menghina Rasulullah (s.`a.w.) di dalam tujuh puluh bait syair. Justeru itu Rasulullah (s.`a.w.) bersabda: “Wahai Tuhanku sesungguhnya aku tidak pandai bersyair, lantaran itu aku tidak patut menjawabnya oleh itu wahai Tuhanku laknatilah `Amru b. al-`As pada setiap bait syair seribu laknat”.30
Kemudian anda wahai `Amru, anda lebih mencintai dunia anda daripada agama anda. Anda telah mengadap Raja Najjasyi dan memberi hadiah kepadanya semasa lawatan anda pada kali pertama dan kedua. Tetapi kesemuanya menemui jalan buntu. Hasrat anda adalah supaya Ja`far dan para sahabatnya dibunuh. Manakala Raja Najjasyi menyalahkan anda mengenainya, lantas anda menghalalkan darah sahabat anda `Ammarah b. al-Walid.31
Adapun anda wahai Walid b. `Uqbah, demi Allah, aku tidak mencela anda memarahi `Ali kerana beliau telah menyebat anda lapan puluh kali sebat.32
Dan beliau telah membunuh bapa anda tanpa bertarung di hari Badr. Atau bagaimana anda mencacinya sedangkan Allah telah menamakannya mukmin di dalam sepuluh ayat al-Qur’an. Dan Dia telah menamakan anda fasiq sebagaimana fir­manNya dalam Surah al-Sajdah 32: 18 “Maka apakah orang yang beriman seperti orang yang fasiq? Mereka tidak sama”. Dan firmanNya dalam Surah al-Hujurat 49: 6 “Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan sesuatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menye­babkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”.
Adapun anda dan sebutan anda sebagai Quraisy pada hakikatnya anda bukanlah Quraisy, malah anda adalah anak lelaki kepada seorang yang tidak mengetahui budi bahasa dari keluarga Safuriyah bernama Zakwan.
Adapun sangkaan anda bahawa kami telah membunuh `Uthman, demi Allah, Talhah, Zubair dan `Aisyah sendiri tidak mampu untuk mengaitkannya dengan `Ali b. Abu Talib.33
Bagaimana anda sanggup berkata sedemikian rupa? Sekiranya anda bertanya ibu anda siapa­kah bapa anda ketika dia meninggalkan Zakwan, lalu dia mengaitkan anda dengan `Uqbah b. Abu Mu`it, nescaya dia merasa angkuh dan bermegah dengan apa yang dia lakukan. Sedangkan Allah telah menyediakan bagi anda, bapa anda dan ibu anda kehinaan dan me­nanggung malu di dunia dan di akhirat. Allah tidak akan menza­limi hamba-hambaNya.34
Kemudian anda wahai Walid! Allah lebih besar dari orang yang anda kaitkan namanya. Bagaimana anda mencaci `Ali kerana sekiranya anda bekerja keras nescaya anda dapat mempastikan nasab anda kepada bapa anda yang sebenar dan bukan kepada orang yang dikaitkan namanya dengan anda. Kerana ibu anda sendiri telah mengatakan: Wahai anakku, bapa anda adalah lebih celaka dan jahat daripada `Uqbah.
Adapun anda `Utbah b. Abu Sufyan; Demi Allah anda bukanlah cekap sehingga aku memberi jawapan kepada anda, tidak pula bera­kal sehingga aku mendera anda, kerana tidak ada di sisi anda kebaikan yang diharapkan sekiranya anda mencaci `Ali, tidak ada keaiban baginya terhadap anda. Kerana anda di sisiku tidaklah setanding dengan seorang hamba `Ali b. Abu Talib sehingga aku memberi jawapan kepada anda dan mencela anda, tetapi Allah `Azza Wajalla sedang menunggu anda, bapa anda, ibu anda dan saudara anda. Anda adalah dari zuriat datuk-datuk anda yang disebutkan di dalam al-Qur’an, maka Dia berfirman di dalam Surah al-Ghasyiah 88: 3-5 “Bekerja keras lagi kepayahan (nasibah), memasuki api yang sangat panas, diberi minum (dengan air) dari sumber yang sangat panas”.
Adapun ancaman anda untuk membunuhku, kenapa anda tidak membunuh orang yang anda mendapatinya di atas hamparan anda bersama isteri anda. Dia telah mengalahkan anda bagi menguasai kemaluannya (farajnya) dan dia berkongsi dengan anda pula bagi mendapatkan anaknya sehingga dia mengaitkan anak lelaki tersebut dengan anda sedangkan ia bukanlah anak lelaki anda. Celakalah anda! Jikalaulah anda bekerja keras bagi membalas dendam terha­dapnya adalah lebih wajar kerana ia merupakan suatu kebebasan, kerana anda mengancam untuk membunuhku, tetapi aku tidak mencela anda mencaci `Ali kerana beliau telah membunuh saudara anda secara bertarung. Beliau dan Hamzah b. `Abdu l-Muttalib telah berkongsi di dalam pembunuhan datuk anda, sehingga Allah membakar mereka berdua dengan api neraka dan merasakan mereka berdua dengan azab yang pedih. Dan beliaulah yang mengusir bapa saudara anda sebelah ibu dengan perintah Rasulullah (s.`a.w.).
Adapun harapanku untuk menjadi khalifah, demi Allah sekira-nya aku mengharapkannya adalah kerana aku berhak menuntutnya. Sedangkan anda tidak setanding dengan saudara anda dan tingkah laku bapa anda. Kerana saudara anda lebih kuat menentang Allah S.W.T. dan paling kuat tuntutannya bagi mengalirkan darah Muslim­in. Dia juga menuntut apa yang dia tidak layak untuknya dengan menipu orang ramai. Justeru itu Allah memusnahkan tipu dayanya, dan Allah sebaik-baik orang yang mendedahkan tipu daya mereka.
Adapun kata-kata anda: Sesungguhnya `Ali adalah sejahat jahat Quraisy untuk Quraisy. Demi Allah, beliau tidak hina sehingga memerlukan kasihan belas, dan beliau tidak dibunuh secara zalim.
Adapun anda wahai Mughirah b. Syu`bah! Sesungguhnya anda adalah musuh Allah, meninggalkan kitabNya, pembohong terhadap nabiNya.35
Anda adalah penzina dan wajib dilaksanakan hukum rejam ke atas anda, kerana orang-orang yang adil dan baik menjadi saksi terhadap anda. Tetapi rejam anda ditangguhkan lantas kebenaran ditolak dengan kebatilan dan kebenaran dengan kekerasan.36
Justeru itu Allah menyediakan untuk anda azab yang pedih. Kehinaan di dalam kehidupan dunia dan azab di akhirat adalah lebih hina. Andalah orang yang telah memukul Fatimah binti Rasulullah (s.`a.w.) sehingga terkeluar darahnya dan “tergugur” kandungannya kerana anda menghina Rasulullah (s.`a.w.) dan menya­lahi perintahnya “mencabuli” kemuliaan anak perempuannya kerana Rasulullah (s.`a.w.) bersabda kepadanya: “Wahai Fatimah! Andalah penghulu wanita syurga”.37
Dan Allah akan memasukkan anda ke neraka dan anda akan menerima akibat dari kata-kata anda sendiri. Mana satukah di kalangan tiga perkara anda telah mencaci `Ali, adakah kekurangannya pada keturunannya? Atau jauhnya daripada Rasulullah (s.`a.w.)? Atau membawa bencana pada Islam atau kezaliman di dalam hukuman, atau cinta kerana dunia? Sekiranya anda berpendapat sedemikian maka sesungguhnya anda berbohong dan orang ramai akan membohongi anda pula.
Adakah anda menyangka bahawa `Ali A.S. telah membunuh `Uthman secara zalim?! `Ali, demi Allah orang yang paling ber­takwa dan orang yang paling bersih daripada orang yang mencelanya mengenai perkara tersebut. Sekiranya `Ali telah membunuh `Uthman secara zalim, demi Allah anda bukanlah ada kaitan dengannya. Di masa hidupnya anda tidak pernah membantunya dan pada masa matinya anda tidak menerima pusaka daripadanya. Anda masih mengelilingi rumah anda mengejar wanita-wanita jahat, anda menghidupkan amalan jahiliyah, anda mematikan Islam sepertilah di masa lalu.
Adapun penentangan anda terhadap Bani Hasyim dan Bani Umayyah adalah dakyah anda untuk Mu`awiyah.
Adapun pendapat anda mengenai pemerintahan dan pendapat para sahabat anda tentang kerajaan (al-Mulk) yang anda miliki, ia adalah seperti Fir`aun yang telah memerintah Mesir selama empat ratus tahun sedangkan Musa dan Harun adalah nabi yang diutuskan menghadapi penderitaan. Ia adalah milik Allah. Dia memberi­kannya kepada orang yang baik dan jahat. Allah berfirman dalam Surah al-Anbiya’ 21: 111 “Dan aku tidak mengetahui boleh jadi hal itu cubaan bagi kamu dan kesenangan sampai kepada suatu waktu sahaja”. Dan firmanNya dalam Surah al-Isra’ 17: 16 “Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaa­ti Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya”.
Kemudian Hasan pun berdiri dan menyingkatkan kainnya sambil membaca Surah al-Nur 24: 26: ” Wanita-wanita yang keji bagi lelaki yang keji dan lelaki yang keji bagi wanita-wanita yang keji.” Mereka wahai Mu`awiyah, demi Allah, adalah anda para sahabat anda dan pengikut-pengikut anda (Syi`ah anda).
Dan lelaki yang baik adalah bagi wanita-wanita yang baik. Mereka itulah bersih daripada tuduhan yang dilemparkan ke atas mereka. Bagi mereka pengampunan dan rezeki yang mulia. Mereka adalah `Ali b. Abi Talib A.S, para sahabatnya dan pengikut-pengi­kutnya (Syi`ahnya).
Kemudian beliau keluar sambil berkata kepada Mu`awiyah: Rasailah akibat apa yang telah dilakukan oleh tangan anda. Se­sungguhnya Allah telah menyediakan bagi anda dan mereka kehinaan di dalam kehidupan dunia dan azab yang pedih di akhirat.
Mu`awiyah berkata kepada para sahabatnya: Rasailah kalian akibat apa yang anda telah lakukannya. Al-Walid b. `Uqbah berkata: Demi Allah, kami tidak merasai melainkan sebagaimana anda merasainya dan kami tidak berani melainkan menentang anda.
Mu`awiyah berkata: Tidakkah aku telah berkata kepada kalian sesungguhnya kalian tidak akan dapat menghina lelaki itu (Hasan). Sekiranya kalian mentaatiku semenjak awal lagi, nescaya kalian beroleh kemenangan menentang lelaki ini apabila beliau mendedah­kan keburukan kalian. Demi Allah, beliau tidak berdiri sehingga beliau menyiksaku seisi rumah. Dan aku bercita-cita untuk men­yerangnya. Lantaran itu tidak ada kebaikan di hari ini dan sele­pasnya.38
Dia berkata: Marwan b. Hakam mendengar tentang perjumpaan Mu`awiyah dan para sahabatnya dengan Hasan b. `Ali A.S. Lalu dia datang berjumpa mereka di sisi Mu`awiyah dan bertanya mereka. Apakah (benar) apa yang telah sampai kepadaku tentang Hasan dan kemarahannya?
Dia menjawab: Beliau (Hassan) memanglah begitu. Marwan berkata kepada mereka: Kenapa kalian tidak menjemputku bersama? Demi Allah, aku akan mencacinya, aku akan mencaci bapanya, Ahlu l-Baitnya dengan cacian sehingga hamba-hamba lelaki dan perempuan aku berpesta dengan penuh kegembiraan.
Hasan berkata: Adapun anda wahai Marwan, bukan aku yang mencaci anda dan bapa anda, tetapi Allah `Azza Wajalla telah melaknati anda, bapa anda, keluarga anda, zuriat anda dan zuriat yang keluar dari keturunan bapa anda sehingga hari kiamat di atas lidah nabiNya Muhammad. Demi Allah, wahai Marwan, anda tidak akan mengingkarinya, begitu juga orang yang datang di dalam majlis ini kerana laknat ini adalah daripada Rasulullah (s.`a.w.) untuk anda dan bapa anda sebelum anda.39 Allah tidak akan menam­bahkan kepada anda apa yang menakutkan anda melainkan kezaliman yang besar. Memang benar Allah dan rasulNya dan Dia berfirman dalam Surah al-Isra’ 17: 60 “Dan pohon kayu yang terkutuk dalam al-Qur’an, dan Kami menakuti mereka tetapi yang demikian itu hanyalah menambah besar kedurhakaan mereka”.
Anda Wahai Marwan dan zuriat anda merupakan pohon yang dilaknati Allah di dalam al-Qur’an. Demikian itu adalah daripada Rasulullah (s.`a.w.) daripada Jibra`il daripada Allah `Azza Wajalla.40
Mu`awiyah melompat, lalu meletakkan tangannya di mulut Hasan seraya berkata: Wahai Abu Muhammad! Aku bukanlah jahat dan ganas.Lalu Hasan A.S membersihkan kainnya, kemudian beliau berdiri dan keluar. Mereka juga keluar dari majlis itu dengan kemarahan dan dukacita serta dengan muka hitam di dunia dan akhirat.
Sebenarnya tuntutan Hasan b. `Ali A.S terhadap Imamah/Khila­fah adalah berdasarkan nas daripada datuknya Rasulullah (s.`a.w.) Beliau begitu yakin bahawa hak Imamah/Khilafah selepas Rasulullah (s.`a.w.) adalah hak `Ali dan kemudian haknya dan seterusnya. Apatah lagi Mu`awiyah b. Abu Sufyan telah menentang bapanya `Ali A.S sebagai imam/khalifah di masa itu secara kekerasan.
Beberapa bulan selepas kewafatan bapanya, beliau telah mengambil alih jawatan khalifah, kemudian beliau pula terpaksa berdamai dengan Mu`awiyah. Perdamaian beliau dengan Mu`awiyah telah ditentang oleh kebanyakan Syi`ahnya sendiri. Namun begitu beliau terpaksa melakukannya demi menjaga dirinya, Ahl al-Baitnya dan Syi`ahnya. Beliau berkata: Demi Allah sekiranya perdamaianku dengan Mu`awiyah berlaku, nescaya aku dapat menjaga darahku dan menyelamatkan keluargaku, maka ia adalah lebih baik daripada mereka membunuhku. Lantaran itu keluargaku akan dibunuh. Demi Allah sekiranya aku memerangi Mu`awiyah, nescaya mereka memotong tengkukku dan membawanya kepada Mu`awiyah. Demi Allah sekiranya aku berdamai dengannya dalam keadaan aku mulia lebih baik dari dia membunuhku dalam keadaan aku menjadi tawanan.41
Kemudian Hasan terus mempertahankan tindakannya, beliau berkata: Demi Allah, aku tidak menyerahkan jawatan khalifah kepadanya melainkan selepas aku dapati tiada pembantu untukku. Sekir­anya aku mendapati pembantu-pembantu, nescaya aku memeranginya malam dan siang sehingga Allah menghukum di antara aku dan dia, tetapi aku mengetahui sikap penduduk-penduduk Kufah dan ujian mereka. Orang yang fasiq tidak sesuai untukku kerana mereka tidak mempunyai kesetiaan, tidak ada tanggungjawab sama ada dari segi kata-kata dan perbuatan. Mereka berselisih di kalangan mereka dan berkata: Sesungguhnya hati kami bersama anda tetapi pedang-pedang mereka ditujukan kepada kami.42
Oleh itu perdamaian yang dilakukan oleh Hasan adalah kerana terpaksa, tanpa pembantu-pembantu. Walau bagaimanapun beliau tidak berpuas hati terhadap sikap penduduk Kufah yang pengecut untuk berjuang bersamanya menentang Mu`awiyah.
Walau bagaimanapun caci mencaci secara serius telah berlaku di antara Hasan dan Mu`awiyah serta rakan-rakannya tentang Ima­mah/Khilafah. Mu`awiyah bukan sahaja mencaci Hasan malah dia mencaci `Ali b. Abi Talib dengan cacian yang melulu dan penuh dengan fitnah. Hasan menjawabnya dengan hujah yang mantap se­hingga dapat menundukkan mereka semua, kerana jawapan Hasan kepada mereka bukanlah merupakan cacian atau cercaan kerana ia adalah suatu hakikat yang sukar ditolak di mana mereka sendiri mengakuinya. Lantaran itu ia patut dibezakan di antara mencaci, mencerca, mencela dan menerangkan hakikat sesuatu. Apatah lagi jika ia berdasarkan kepada nas. `Ali berkata: Jika seseorang itu memberitahu hal atau keadaan seseorang tertentu menyalahi nas al-Qur’an dan Sunnah Nabi (s.`a.w.) adalah lebih wajar dan tidak boleh dikatakan pencaci.43
Walau bagaimanapun Mu`awiyah dan pemerintah Bani Umayyah selepasnya terus mencaci `Ali di atas mimbar masjid selama 70 tahun. Hanya semasa pemerintahan `Umar b. `Abd al-`Aziz ia dihentikan.44 Kemudian ia diteruskan kembali oleh pemerintah Bani Umayyah yang lain.
Kesimpulan
Hasan b. `Ali percaya bahawa hak Imamah/Khilafah selepas datuknya Rasulullah (s.`a.w.) adalah hak Ahl al-Bait Rasulullah (s.`a.w.). Orang lain adalah tidak layak untuk memegang jawatan tersebut berdasarkan nas dan akal. Walau bagaimanapun beliau akhirnya terpaksa menyerahkan jawatan khalifah kepada Mu`awiyah dengan syarat-syarat tertentu demi untuk menjaga dirinya, keluar­ganya dan Syi`ahnya.
Nota Kaki:
1 Al-Tabarsi, Abu `Ali al-Fadil b. al-Hasan, al-Ihtijaj, Beirut 1403 H., I, hlm. 269-279.
2 Sibt Ibn al-Jauzi, Tadhkirah al-Khawwas , Tunis 1972 M., hlm. 200.
3 Sibt Ibn al-Jauzi, Tadhkirah al-Khawwas, hlm. 200; al-Turmudhi, Abu `Isa Muhammad b. `Isa b. Sawrah, Sunan al-Turmudhi, V, hlm. 642; al-Tabari, Abu Ja`far Muhammad b. Jarir, Tarikh al-Umam wa al-Muluk, Cairo 1956 M., II, hlm. 310.
4Ibid.
5 Al-Bukhari, Abu `Abdullah Muhammad b. Ismail, Sahih Bukhari, Cairo 1348 H., III, hlm. 46; Al-Hakim al-Nisaburi, Muhammad b. `Abdullah, al-Mustadrak `ala al-Sahihain fi al-Hadith, Cairo, 1969 M., III, hlm. 37; al-Dhahabi, Abu `Abdullah Muhammad b. Ahmad b. `Uthman, al-Talkhis, Hyderabad, 1958 M., III, hlm. 37 dan lain-lain.
6 Al-Khawarizmi, al-Manaqib, Cairo 1340 H., hlm. 232; Ibn Hajr al-`Asqalani, Lisan al-Mizan, VI, hlm. 237; al-Qunduzi al-Hanafi, Sulayman b. Ibrahim, Yanabi` al-Mawaddah fi Syama`il al-Nabi wa Fada`il Amir al-Mu’minin `Ali, Iran 1385 H., hlm. 132.
7 Al-Khawarizmi, ibid., hlm. 148.
8 Al-Qunduzi al-Hanafi, Yanabi` al-Mawaddah, hlm. 81
9 Sibt Ibn al-Jauzi, Tadhkirah al-Khawwas, hlm. 200-201.
10 Al-Qunduri al-Hanafi, Yanabi’ al-Mawaddah, hlm. 112.
11 Al-Wahidi, Asbab al-Nuzul, Cairo 1957 M., I, hlm. 422; al-Zamakhsyari, Abu al-Qasim Mahmud b. `Umar, al-Kasysyaf `an Haqa`iq Ghawamid al-Tanzil wa `Uyun al-Aqawil fi Wujuh al-Ta`wil, Cairo t.t., I, hlm. 422; al-Syablanji, Mu`min b. Hasan Mu`min, Nur al-Absar fi Manaqib al-Bayt al-Nabi al-Mukhtar (s.`a.w.), Cairo 1367 H., hlm. 105; al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-`Ummal, VI, hlm. 117.
12 Muslim, Abu al-Husayn Muslim b. Hajjaj, Sahih Muslim, Cairo, 1311 H., II, hlm. 238; Ahmad b. Hanbal, al-Musnad, III, hlm. 17, 26, 59; IV, hlm. 367; al-Turmudhi, Sahih, II, hlm. 308.
13Ibn Hajr al-`Asqalani, Abu al-Fadl Ahmad b. `Ali b. Muhammad b. Muhammad, Tahdhib al-Tahdhib, Hyderabad 1327 H., XI, hlm.445; al-Kanji al-Syafi`i, Kifayah al-Talib, Tehran 1404 H., hlm. 116-117.
14 Al-Khawarizmi, al-Manaqib, hlm. 143.
15 Al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-`Ummal, VI, hlm. 408; al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, Baghdad 1950 M., XII, hlm. 397; al-Kanji al-Syafi`i, Kifayah al-Talib, hlm. 273.
16 Al-Hakim, al-Mustadrak, II, hlm. 343; al-Qunduzi al-Hanafi, Yanabi` al-Mawaddah, hlm. 27.
17 Al-Zamakhsyari, al-Kasysyaf, I, hlm. 422; al-Syablanji, Nur al-Absar, hlm. 105.
18 Abu Nu`aim al-Asfahani, Hilyah al-Auliya’ wa Tabaqat al-Asfiya’, Cairo 1956 M., I, hlm. 67; al-Kanji al-Syafi`i, Kifayah al-Talib, hlm. 208-9.
19 Al-Syablanji, Nur al-Absar, hlm. 89; al-Kanji al-Syafi`i, Kifayah al-Talib, hlm. 172-174.
20 Ibn al-Athir, `Izz al-Din Abu Hasan `Ali b. Muhammad b. `Abd al-Kasim al-Jazari, Usd al-Ghabah fi Ma`rifah al-Sahabah, Baghdad 1349 H., IV, hlm. 385; Sibt Ibn al-Jauzi, Tadhkirah al-Khawwas, hlm. 201.
21 Al-Tabari, Tarikh, XI, hlm. 357; Nasr b. Mazahim, Kitab al-Siffin, Baghdad 1950 M., hlm. 247.
22 Lihat umpamanya, al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-`Ummal, VI, hlm.91.
23 Sibt Ibn al-Jauzi, Tadhkirah al-Khawwas, hlm. 201-202.
24 Lihat umpamanya, al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-`Ummal, VI, hlm.91-93; al-Hakim, al-Mustadrak, IV, hlm. 480.
25 Ibn Abi al-Hadid, `Izz al-Din Abu Hamid `Abd al-Hamid b. Abi al-Husayn Hibat Allah, Syarh Nahj al-Balaghah, Cairo 1959 M., II, hlm. 102.
26 Al-Kanji al-Syafi`i, Kifayah al-Talib, hlm. 172-173.
27 Sibt Ibn al-Jauzi, Tadhkirah al-Khawwas, hlm. 200.
28 Sibt Ibn al-Jauzi, Tadhkirah al-Khawwas, hlm. 204-205.
29 Sibt Ibn al-Jauzi, Tadhkirah al-Khawwas, hlm. 186.
30 Al-Haithami, Nur al-Din `Ali b. Abi Bakr, al-Majma` al-Zawa`id, Tunis 1375 H., VII, hlm. 348-350.
31 Sibt Ibn al-Jauzi, Tadhkirah al-Khawwas, hlm. 186-187.
32 Ibn al-Athir, Usd al-Ghabah, IV, hlm. 408.
33 Ibn Qutaibah, Abu Muhammad `Abdullah b. Muslim, al-Imamah wa al-Siyasah, Cairo 1332 H., I, hlm. 84.
34 Al-Haithami, al-Majma`, VII, hlm. 247-250.
35 Al-Haithami, al-Majma`, VII, hlm. 247-250.
36 Ibn Hajr al-`Asqalani, Abu al-Fadl Ahmad b. `Ali b. Muhammad b. Muhammad, al-Isabah fi Ma`rifah al-Sahabah, Baghdad 1345, H., III, hlm. 452; Ibn al-Athir, Usd al-Ghabah, IV, hlm. 407; al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-`Ummal, III, hlm. 88.
37 Ahmad b. Hanbal, al-Musnad, I, hlm. 293; al-Turmudhi, Sahih, VI, hlm. 301.
38 Sibt Ibn al-Jauzi, Tadhkirah al-Khawwas, hlm. 200.
39 Al-Tabari, Tafsir, Cairo 1952 M., XXX, hlm. 167; al-Hakim, al-Mustadrak, III, hlm. 170; Sibt Ibn al-Jauzi, Tadhkirah al-Khawwas, hlm. 209.
40 Al-Turmudhi, Sahih, II, hlm. 120; al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-`Ummal, I, hlm. 252; Sibt Ibn al-Jauzi, Tadhkirah al-Khawwas, hlm. 209.
41 Al-`Allamah al-Tabarsi, al-Ihtijaj, II, hlm. 290.
42Ibid., hlm. 291.
43 Syarif al-Radhi, Abu Hasan Muhammad b. al-Hasan al-Musawi, Nahj al-Balaghah, Baghdad 1364 H., hlm. 323.
44 Al-Suyuti, Jalal al-Din `Abd al-Rahman b. Abu Bakr, Tarikh al-Khulafa’, Cairo 1963 M., hlm. 243.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar